PETALING JAYA: Harapan untuk menyaksikan beregu lelaki dan wanita negara membutirkan pingat emas pertama negara tidak kesampaian selepas mereka tewas kepada lawan masing-masing di separuh akhir Sukan Olimpik 2024 di Paris, Perancis, semalam.
Bagaimanapun, kedua-dua beregu negara telah memberi aksi terbaik apabila mengheret perlawanan hingga ke rubber set sebelum terpaksa akur dengan kekuatan lawan.
Bermula dengan kekalahan beregu wanita No. 1 negara, Pearly Tan-M. Thinaah yang tumpas kepada gandingan No. 1 dunia, Chen Qing Chen-Jia Yi Fan dalam masa 1 jam 18 minit di Arena Porte De La Chapelle.
Kekecewaan berganda buat peminat sukan negara apabila pemenang pingat gangsa Olimpik Tokyo 2020, Aaron Chia Soh Wooi Yik juga terpaksa akur dengan gandingan No. 1 dunia, Liang Wei Keng-Wang Chang dengan keputusan 19-21, 21-15, 17-21 di venue sama.
Keputusan berkenaan, menyaksikan kedua-dua pasangan negara akan turun hari ini dalam perebutan pingat gangsa.
“Kita sudah bagi yang terbaik, cuma hari ini bukan tuah kami, masih ada satu lagi perlawanan, jadi, kami akan berjuang habis-habisan,” kata Aaron ketika ditemu bual selepas perlawanan tamat.
Kekalahan itu juga bermakna sandaran emas kini terletak di bahu jaguh berbasikal negara, Datuk Azizulhasni Awang yang hanya akan memulakan saingannya dalam acara pecut di Velodrom de Saint-Quentin-en-Yvelines pada Rabu ini.
Selain itu, Azizulhasni yang tampil pada Olimpik Beijing 2008, London 2012, Rio de Janeiro 2016 dan Tokyo 2020 akan turut beraksi dalam acara keirin pada 10 Ogos ini.-UTUSAN