PETALING JAYA: Bintang Harimau Malaya, Faisal Halim mempunyai pandangan berbeza biarpun segelintir peminat bola sepak ketika ini mendesak Datuk Hamidin Mohd Amin melepaskan jawatan selaku Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM)
Pemain sayap itu secara peribadi mahu melihat Hamidin terus kekal menerajui FAM demi kemajuan bola sepak negara kerana beliau merupakan individu yang sangat dekat dengan sukan nombor satu negara.
“Jika ditanya adakah Datuk Hamidin perlu kekal sebagai Presiden FAM, secara peribadi saya katakan ia wajar dan beliau harus diberikan mandat sebagai presiden. Malah, beliau juga adalah ahli Majlis FIFA dan Ahli Jawatankuasa Eksekutif AFC.
“Satu kerugian buat bola sepak Malaysia jika Datuk Hamidin melepaskan jawatannya kerana dia sudah ada hubungan yang baik di pentas antarabangsa dan bukan calang-calang orang boleh menggalas tugas ini.
“Sebagai pemain, kami cukup selesa dengan pendekatan dan gaya kepimpinannya kerana dia adalah seorang yang mudah didekati dan sentiasa rajin turun padang untuk bersama kami sepanjang kem latihan dan perlawanan skuad kebangsaan.
“Dia juga cukup prihatin dengan pemain dan sebagai contoh, dia individu pertama yang datang melawat saya di hospital selepas insiden malang menimpa saya pada Mei lalu,” kata Faisal ketika ditemui media di Wisma FAM, semalam.
Namun begitu, Faisal turut menjelaskan bahawa ianya terpulang kepada ahli-ahli gabungan FAM untuk menentukan tetapi secara peribadi dia merasakan Hamidin masih relevan untuk kekal sebagai presiden ketika ini.
“Soal pemilihan ini, ianya terpulang kepada ahli-ahli gabungan FAM untuk menentukan kerana mereka ada hak untuk mengundi dan bukannya kami sebagai pemain, mahupun penyokong ataupun pihak media.
“Buat masa sekarang dan untuk beberapa tahun akan datang, saya berpendapat yang Datuk Hamidin masih relevan untuk menerajui FAM tetapi dengan syarat dia perlu mendapat sokongan dari semua pihak dan hentikan sikap tidak puas hati jika tidak, kita tidak akan kemana-mana,” tambahnya lagi.-UTUSAN