PETALING JAYA: Edisi kedua Kenanga Man of Steel Triathlon 163 yang dijadualkan berlangsung pada 10 Ogos ini dijangka lebih meriah apabila menerima sambutan menggalakkan daripada peserta-peserta yang mengambil bahagian dari pelbagai negara.
Seramai 724 peserta termasuk 79 peserta dari luar negara sudah mengesahkan penyertaan mereka untuk menyertai saingan berkenaan.
Kenanga Man of Steel Triathlon 163 adalah cabaran bertaraf antarabangsa yang menawarkan keseimbangan jurang jarak antara Sukan Olimpik serta Ironman bagi tiga disiplin sukan iaitu berenang, berbasikal dan berlari.
Untuk kategori utama Man of Steel, ia menawarkan cabaran berenang sejauh 3 kilometer (km), berbasikal 130km manakala bagi acara larian pula adalah 30km.
Ia diharap dapat memberikan kepuasan maksimum kepada peserta tempatan serta antarabangsa yang selama ini mungkin menyimpan impian untuk cuba mencabar diri masing-masing, sama seperti atlet profesional yang beraksi di Olimpik atau Ironman.
Selain Man of Steel, terdapat dua lagi kategori yang menawarkan cabaran lebih santai iaitu Aquathlon dan Sprint Triathlon di mana kedua-dua kategori itu turut mendapat sambutan yang memuaskan.
Pengarah perlumbaan, Eugene Chan berkata, edisi kedua Kenanga Man of Steel Triathlon 163 akan menjanjikan pengalaman yang tidak dapat dilupakan dan manis buat setiap peserta.
“Bagi mereka yang mempunyai perancangan beraksi di Ironman, inilah masa paling tepat untuk mencuba saingan ini sebelum beraksi di saingan lebih mencabar. Kami sangat gembira dengan jumlah penyertaan pada tahun ini apabila seramai 724 peserta sudah mengesahkan penyertaan di mana 79 daripadanya adalah peserta luar negara.
“Ia adalah pertambahan sebanyak 25 peratus berbanding jumlah penyertaan pada edisi pertama tahun lalu. Untuk itu, kami berharap dapat meraih lebih banyak sokongan daripada semua pihak bagi membolehkan acara ini dianjurkan dengan skala lebih besar sekali gus dapat melonjakkan reputasi Malaysia di mata dunia,” katanya.
Sama seperti ketika penganjuran kali pertama tahun lalu, edisi kedua Kenanga Man of Steel Triathlon 163 turut akan berlangsung di Kompleks Sukan Air Putrajaya.
“Putrajaya sekali lagi menjadi pilihan kerana ia adalah tumpuan utama bagi acara sukan dan rekreasi. Putrajaya juga adalah lokasi paling selamat untuk menganjurkan acara seperti Kenanga Man of Steel Triathlon 163,” kata Eugene.-UTUSAN