BAM dilayan tidak adil biarpun raih pelbagai kejayaan

BAM dilayan tidak adil biarpun raih pelbagai kejayaan

MOHAMAD NORZA ZAKARIA tidak lagi memegang jawatan dalam BAM.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Di sebalik pencapaian yang baik di pentas antarabangsa termasuk menjadi penyumbang pingat pada Sukan Olimpik dan merangkul gelaran dunia, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) masih tetap dilayan secara tidak adil oleh peminat sukan itu.

Walaupun menerima pelbagai kritikan, tiada kekesalan yang berbekas dihati Tan Sri Mohamad Norza Zakaria yang akhirnya menunaikan janji beliau untuk melepaskan jawatan selaku Presiden BAM sebaik Sukan Olimpik Paris 2024 melabuhkan tirai.

“Badminton merupakan satu sukan yang dekat di hati rakyat Malaysia. Jadi, apa sahaja yang berlaku melibatkan pemain negara ia menjadi sangat sensitif. Bermula daripada isu Lee Zii Jia meninggalkan BAM, saya yang memberi restu kepada dia untuk menjadi pemain profesional.

“Begitu juga dengan Goh Jin Wei yang pergi ke Olimpik tanpa jurulatih, orang mengaitkan saya, sedangkan saya dimaklumkan oleh Datuk Kenny (Setiausaha Agung BAM) dan Rexy Mainaky, jurulatih Jin Wei yang memutuskan untuk tidak pergi.

“Kalau anda kata saya kecewa, benar saya kecewa kerana orang terlalu fokus kepada badminton dan ia menjadi isu, tetapi sukar untuk saya luahkan semudah itu,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Ahli Majlis BAM buat kali terakhir di Akademi Badminton Malaysia (ABM) di sini, semalam.

Norza berkata, walaupun banyak insiden yang mengecewakan berlaku, hidup perlu diteruskan dan semalam, menjadi hari terakhir beliau menggalas tanggungjawab sebagai Presiden BAM.

“Hari ini (semalam) saya melepaskan kerja sukarela ini dan masa saya sudah habis, saya ada perkara lain yang hendak dilakukan.

“Selepas ini, saya tidak akan terbabit dalam apa sahaja tugas termasuk yayasan ke apa, terpulang kepada pucuk pimpinan yang baharu nanti,” ujarnya yang mengambil alih tugas sebagai Presiden BAM daripada Tan Sri Tengku Mahaleel Tengku Ariff pada 2017.

Mengulas mengenai pencapaian BAM, beliau menjelaskan, badminton secara konsisten menyumbang pingat untuk Malaysia khususnya di pentas Olimpik.

“Tetapi kita tetap dikritik, adakah ia adil? Saya tidak kata kita tidak melakukan sebarang kesilapan, tetapi untuk melalui proses itu, ia bukan sesuatu yang mudah, saya cuma berharap orang ramai dapat memahami proses itu,” tegasnya.

Norza memberitahu, kini dia melepaskan tanggunggjawab berat yang digalasnya selama ini kepada Timbalan Presiden I, Datuk V. Subramaniam yang akan memikul tugas sebagai Pemangku Presiden sehingga Mesyuarat Agung Tahunan BAM diadakan pada tahun depan.

“Saya ada menyandang beberapa jawatan sebagai Presiden Kehormat Badminton Asia, Pengerusi jawatankuasa sukan untuk Majlis Olimpik Asia (OCA), Ahli Jawatankuasa Koordinasi untuk Sukan Asia ke-20 Aichi-Nagoya 2026.

“Saya rasa cukup untuk saya menyumbang dalam sukan dua, tiga tahun akan datang dan sedikit demi sedikit saya akan memperlahankan langkah dan saya berharap pucuk pimpinan yang baharu dapat membawa badminton ke peringkat yang lebih tinggi,” tambahnya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN