KUALA LUMPUR: Pemain skuasy lelaki negara, Muhammad Addeen Idrakie Bahtiar akhiri kemarau 12 tahun untuk merangkul gelaran sulung pada Kejohanan Skuasy Kebangsaan WCE kali ke-39 di Pusat Skuasy Nasional, Jalan Duta, dekat sini, hari ini.
Addeen yang merupakan naib juara edisi lalu menewaskan rakan seperjuangannya Mohamad Syafiq Kamal 11-9, 11-3, 9-11, 11-5 dalam perlawanan akhir kategori Premier Lelaki.
Pemain berusia berusia 30 tahun berasal dari Selangor itu berkata, dia teruja untuk menyertai kejohanan tersebut selepas dimaklumkan pemain No. 13 dunia, Ng Eain Yow tidak menyertai edisi kali ini.
”
Saya perlu mengambil peluang ini dan hasil kerja keras saya di dalam latihan ternyata berbaloi.
“Saya juga percaya usaha saya ini tidak mustahil dan boleh dicapai selepas lebih 10 tahun saya saya menantikannya,” kata Addeen yang mula menyertai skuad kebangsaan pada 2012.
Sementara itu, dalam saingan Premier Wanita pertembungan dua adik beradik berakhir dengan bekas naib juara remaja dunia, Aira Azman menundukkan kakaknya, Aifa 11-7, 11-5, 10-12, 11-5 dalam masa 29 minit pada final.
Aira merupakan juara bertahan edisi tahun lalu dan kemenangan tersebut merupakan gelaran keduanya di peringkat kebangsaan.
Pemain berusia 20 tahun yang juga merupakan adik ipar kepada Addeen memberitahu, kejayaan yang dilakarnya amat bermakna dengan kehadiran ibu tersayang.
“Saya gembira dapat beraksi dalam perlawanan akhir bersama-sama kakak saya, tambahan ibu saya juga hadir datang menyaksikan perlawanan kami.
“Kehadiran ibu telah menyuntik semangat saya dan kakak kerana kali terakhir kami beraksi bersama ialah pada final di Terbuka Australia, awal tahun ini,” ujarnya.
Aira yang berada di dalam program Fast Track Skuasy Road To Gold (RTG) menjelaskan, pertarungan, hari ini, tidak mudah kerana ia mencabar kekuatan mental dia dan kakaknya, Aifa.
“Saya tahu Aifa juga mahukan kemenangan dan saya pula mahu mempertahankan kejuaraan,” tambah Aira.
Selaku juara, Addeen dan Aira masing-masing membawa pulang trofi dan wang tunai RM4,000.-UTUSAN