SEPANG: Pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Paris 2024, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik sekali lagi terpaksa berkorban demi negara berikutan hanya mendapat tempoh rehat yang singkat setelah beberapa bulan sibuk dalam persiapan temasya berprestij itu.
Hal ini kerana, beregu No.3 dunia itu perlu kembali ke Akademi Badminton Malaysia (ABM) bagi menjalani latihan menjelang Jelajah Persekutuan Badminton Dunia (BWF)
Bagaimanapun, Aaron berkata, beliau bersedia untuk menggunakan masa yang suntuk ini bagi meluangkan masa bersama keluarga terdekat selepas beberapa bulan berenggang.
Beregu No.1 negara itu selepas ini akan memberi fokus kepada Terbuka Jepun dan Korea Selatan, hujung bulan ini.
“Kami akan berehat beberapa hari sahaja selepas ini bagi meluangkan masa dengan keluarga kami. Selepas itu kami kembali ke ABM untuk melakukan persiapan.
“Selepas ini kami akan kembali berlatih bagi Terbuka Jepun dan Korea Selatan. Pulang ke Malaysia memberi satu lagi motivasi kepada kami untuk melakukan persiapan,” kata Aaron ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), semalam.
Selepas tamatnya Olimpik Paris, Jelajah BWF akan kembali membuka tirainya dengan Terbuka Jepun pada 20 hingga 25 Ogos ini diikuti dengan Terbuka Korea Selatan pada 27 Ogos hingga 1 September ini.
Dalam perkembangan sama, Aaron berkata mereka mahu menggunakan masa yang ada sebelum Olimpik Los Angeles 2028 membuka tirainya untuk memperbaiki permainan mereka bagi merebut emas di temasya terbabit.
“Kami masih ada ruang dan waktu yang banyak untuk memperbaiki kelemahan kami selama ini. Kami seharusnya bersedia dengan lebih bagus menjelang LA 2028.
“Jadi kami kena mula jaga kesihatan supaya dapat capai tahap prestasi tertinggi ketika temasya itu bermula,” jelas Aaron. – UTUSAN