PETALING JAYA: Semua atlet negara yang beraksi di Sukan Olimpik Paris 2024 membuktikan mereka sememangnya layak bersaing di temasya terbesar dunia itu dan wajar diberi sokongan.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, adalah menjadi kewajipan buat semua pihak memberi sokongan kepada setiap atlet dan juga kementerian berkenaan.
“Tiga atlet yang balik awal termasuk dua perenang yang dapat layak secara wild card, ini bermakna mereka memperoleh peluang untuk menimba pengalaman. Ia menjadi peluang buat mereka mendapatkan pendedahan malah mereka masih muda, salah seorang daripadanya mendapat tempat pertama dalam saringan.
“Apabila ada peluang beraksi di Olimpik kita hantarlah. Kita perlu berlaku adil kerana atlet ini sudah bekerja keras dan apabila mereka layak wajar disokong,” kata Hannah.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Dana dan Town Hall Sekretariat Rakan Muda Institusi Pendidikan Tinggi (SRM IPT) di Dewan Podium, Menara KBS, Putrajaya semalam.
Ditanya mengenai persoalan yang ditimbulkan dalam media sosial bahawa KBS sepatutnya hanya menghantar atlet berkualiti ke Paris, Hannah menegaskan setiap atlet yang dipilih sememangnya layak mengisi tempat itu.
“Atlet yang berada di Olimpik adalah mereka yang bekerja keras dan apabila sudah layak, mereka memiliki peluang seimbang 50-50 dengan pesaing lain sekali gus mereka adalah yang terbaik di Malaysia. Apabila bertanding, akan ada kalah dan menang…itulah semangat kesukanan,” ujarnya.
Justeru, beliau menyifatkan komen-komen negatif di sosial media adalah golongan yang tidak memahami semangat kesukanan.
“Sekarang apabila ada ‘sosmed’… sesiapa sahaja boleh bagi pandangan tetapi tak bermaksud semuanya kita perlu layan, kalau nak layan individu buat komen susahlah,” tegas Hannah.
Terdahulu, tiga atlet negara iaitu Johnathan Wong yang beraksi dalam acara menembak bersama dua lagi perenang, Khiew Hoe Yean dan Tan Rouxin menjadi kumpulan pertama meninggalkan Paris selepas tersingkir di pusingan awal.
Namun mereka telah memberi aksi terbaik terutamanya dua perenang negara yang masing-masing berusia 21 dan 18 tahun.
Sementara itu, Hannah mengakui mengikuti rapat perkembangan tahap keselamatan di Paris dan menegaskan soal keselamatan atlet menjadi keutamaan.
“Saya mahu kita pastikan atlet mengikut peraturan dan saya juga mendapat makluman daripada Chef de Mission, Datuk Hamidin (Mohd Amin) dan MSN (Majlis Sukan Negara).
“Selain itu saya mahu mereka fokus kepada keperluan atlet untuk berada pada tahap prestasi terbaik, jangan lewat ke venue dan menerapkan disiplin yang tinggi,” katanya.-UTUSAN