SAMS kembangkan lagi sukan udara di Malaysia

SAMS kembangkan lagi sukan udara di Malaysia

HANNAH Yeoh ketika merasmikan Sistem Pengurusan Sukan Udara (SAMS) di kementeriannya semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pengenalan Sistem Pengurusan Sukan Udara (SAMS) merupakan satu langkah berani dalam usaha mendigitalkan sukan udara di Malaysia yang kini mula mendapat tempat dalam kalangan rakyat Malaysia.

Presiden Persekutuan Sukan Udara Malaysia (MSAF), Nurhaqimy Ismail berkata, sistem berkenaan merupakan usaha kolektif bersama rakan-rakan strategik bagi mengembangkan lagi sukan udara di Malaysia.

Katanya, SAMS melibatkan kerjasama MSAF dengan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Identex Digital, AIM Aerial Technologies, Futurise Sdn Bhd, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), dan Generali Insurance Malaysia Berhad.

“Kami amat berbesar hati kerana Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berbesar hati untuk merasmikan SAMS yang berlangsung di ibu pejabat Kementerian Belia dan Sukan (KBS), semalam.

“Pembangunan aplikasi SAMS adalah hasil kerjasama kolektif bersama rakan strategik sekali gus menunjukkan komitmen kami terhadap inovasi dan kecemerlangan sukan udara di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Nurhaqimy, SAMS menyepadukan pelbagai fungsi, termasuk mengurusan lesen, sijil, kedudukan individu, sistem SOS, acara yang sedang dilakukan oleh individu, penjejakan langsung, buku log dan banyak lagi modul yang akan datang.

“Aplikasi ini juga diperkenalkan bagi memudahkan individu yamg terlibat dalam sukan udara mematuhi peraturan keselamatan yang ketat yang ditetapkan oleh pihak berkuasa. Ia mudah diakses dan mesra pengguna.

“SAMS juga telah menerima pelbagai pengiktirafan dan permintaan di peringkat antarabangsa, terutamanya daripada Persekutuan Sukan Udara Asia, yang telah menyatakan minat mereka yang mendalam untuk mengguna pakai SAMS untuk sistem sukan udara mereka.

“Sambutan yang menggalakkan ini menyerlahkan lagi potensi SAMS untuk mengubah dan memudahkan pengurusan sukan udara bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di seluruh benua,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN