PARIS: Juara judo dunia, dan kini – juara Olimpik. Hidayat Heydarov dari Azerbaijan membuktikan dia juara mutlak bagi kategori -73 kg.
Dia meraih emas semalam, hanya beberapa bulan selepas memenangi gelaran dunia pertamanya, untuk menjadi juara judo Olimpik kedua Azerbaijan.
Dia mengikut jejak langkah mentornya, Elnur Mammadli, yang memenangi gelaran dalam kategori yang sama di Beijing 2008.
“Kemenangan ini adalah untuk seluruh negara saya,” kata Heydarov selepas dikalungkan emas.
Pada perlawanan akhir, Heydarov berdepan Joan-Benjamin Gaba yang menjadi harapan Perancis, yang membuat serangan-serangan mengejutkan sehingga ke final pertamanya.
Ia diibaratkan satu pertempuran epik yang mana akhirnya Heydarov melemparkan Gaba untuk ippon selepas hampir 10 minit bertarung.
Perak untuk pemain Perancis itu di tanah air dalam penampilan sulung Olimpik yang mengagumkan.
“Ia satu perasaan yang hebat untuk memiliki pingat emas dalam Sukan Olimpik di Paris, pada perlawanan akhir menentang seorang atlet Perancis. Ini untuk diri saya sendiri dan ia adalah detik penghormatan,” tambah Heydarov sambil berkata dia sudah bersedia untuk semua senario apabila berdepan pemain Perancis itu di tempat sendiri.
Selepas memenangi perlawanan itu, pemain berusia 27 tahun itu berkongsi kegembiraan dengan rakan dan keluarganya, berkata: “Saya sangat berterima kasih kepada mereka kerana mereka membantu saya pada tahun ini, dan tahun-tahun sebelumnya, untuk menjadi juara. Saya pergi kepada orang yang telah menyokong saya sepanjang hidup saya kerana kemenangan ini bukan hanya milik saya.”