PETALING JAYA: Ketua jurulatih Selangor FC, Nidzam Jamil kekal optimis dengan peluang pasukannya untuk layak ke peringkat separuh akhir Piala FA biarpun Kuching City FC hadir ke Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) malam ini dengan kelebihan.
Kedua-dua pasukan akan bertembung dalam suku akhir kedua malam ini dengan perlawanan pertama di Stadium Negeri Sarawak pada minggu lalu dimenangi oleh anak-anak buah Aidil Sharin Sahak 2-1.
Menurut Nidzam, biarpun pasukan kendaliannya ketinggalan satu gol pada perlawanan suku akhir pertama, namun tiada tekanan yang terlalu tinggi dirasakan oleh pengendali berusia 44 tahun itu.
“Kita masih ada lagi 90 minit untuk kita buktikan sesuatu di laman kita sendiri. Saya rasa kita ada kelebihan dengan sokongan 10 atau 11 ribu penyokong di belakang kita.
“Saya tidak rasakan sebarang tekanan. Memang apapun situasi, kita akan merasakan tekanan. Tapi saya merasakan perlawanan timbal balik ini kita ada kelebihan kerana bermain di rumah kita, jadi kita akan main dengan teratur.
“Saya tak nafikan pasukan lawan mempunyai kelebihan satu gol , dan kita pun kena jangkakan apa yang akan dirancang oleh lawan.Tetapi kita perlu mencuba dan terus mencuba,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sementara itu katanya, kem Selangor kembali diperkuatkan dengan beberapa pemain yang cedera sebelum ini dan beliau bersedia untuk menurunkan barisan terkuat untuk memastikan pasukan mara ke separuh akhir Piala FA.
“Mukhairi Ajmal, Reziq Bani Hani , dan Umar Eshmurodov sudah kembali berlatih bersama pasukan, namun kita akan pantau mereka dalam minggu ini. Jika mereka sudah bersedia dan cergas, kita akan turunkan mereka.
“Kita bukan sahaja mahu fokus kepada Piala FA, sekarang dalam liga kita di tempat kedua, dan kita mahu menunjukkan konsistensi dengan lebih baik untuk memastikan pasukan berada di landasan yang tepat,” ujarnya.-UTUSAN