PETALING JAYA: Pemain beregu campuran profesional negara, Lai Pei Jing mendedahkan dia menjadi mangsa sindiket penipuan yang menyebabkan dirinya hampir kehilangan semua wang simpanan.
Menerusi laman sosial Facebook miliknya, Pei Jing berkongsi pengalaman hitam dalam hidup dan memohon kepada semua pihak untuk memberinya privasi untuk seketika.
“Saya mohon untuk berikan ruang kepada saya dan keluarga untuk menangani emosi kami. Benar, saya telah ditipu dan hampir semua simpanan saya oleh sindiket penipuan
“Sejujurnya, ini adalah tamparan yang berat kerana ia adalah simpanan hasil kerja keras saya sejak bertahun-tahun. Saya berharap dapat menghalang lebih ramai mangsa dan menerima hakikat bahawa saya telah ditipu,” kata Pei Jing dalam laman Facebook miliknya.
Walaupun berdepan emosi yang tidak menentu, juara Terbuka Korea 2022 itu sudah melaporkan perkara ini kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
“Saya akan berkongsi lebih lanjut mengenainya. Jadi pada masa ini, saya mengambil ini sebagai iktibar dan hidup ini perlu diteruskan.
“Saya perlukan sedikit masa untuk menyelesaikan dan memproses segala-galanya. Selepas itu, berkongsi butiran mengenai penipuan ini kepada semua orang,” katanya.
Pada Terbuka Singapura yang berakhir kelmarin, Pei Jing bersama pasangannya Tan Kian Meng tersingkir seawal pusingan kedua dan akan meneruskan saingannya di Terbuka Indonesia pada 4 hingga 9 Jun ini.-UTUSAN