Malaysia dominasi skuasy berpasukan Asia

Malaysia dominasi skuasy berpasukan Asia

PASUKAN skuasy lelaki dan wanita Malaysia meraikan kejayaan merangkul gelaran Asia di atas podium selepas upacara penyampaian hadiah pada Kejohanan Berpasukan Asia di Dalian, China, hari ini.-IHSAN SRAM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia merangkul gelaran berganda selepas pasukan lelaki dan wanita skuasy kebangsaan merangkul gelaran Asia dengan membenam Hong Kong pada perlawanan akhir Kejohanan Berpasukan Asia 2024 di Dalian, China, hari ini.

Skuad lelaki negara yang diketuai pemain No. 13 dunia, Ng Eain Yow tidak berdepan masalah untuk mengutip mata pertama Malaysia selepas menewaskan Lau Tsz Kwan 11-7, 11-8, 11-8.

Bagaimanapun, kem negara cemas seketika apabila perseorangan kedua, Muhammad Addeen Idrakie Bahtiar tunduk kepada Henry Leung 11-4, 7-11, 2-11, 7-11 yang sekali gus membuka laluan kepada Hong Kong mengikat Malaysia 1-1.

Percaturan berani jurulatih menurunkan pemain remaja, C. Ameeshanraj selaku perseorangan ketiga ternyata berbaloi apabila anak muda berusia 20 tahun itu membenam pemain berpengalaman Hong Kong, Tang Ming Hong 8-11, 11-8, 11-6, 11-4.

Kejayaan tersebut menyaksikan Malaysia melakar kemenangan 2-1 ke atas Hong Kong untuk menjulang gelaran Asia kelima dan sekali gus, mengiringi pasukan wanita yang terlebih dahulu mengesahkan gelaran Asia ke-11 selepas menumbangkan juara bertahan, Hong Kong 2-0 pada perlawanan akhir.

Mata pertama Malaysia dihadiahkan oleh bintang No. 10 dunia, S. Sivasangari, namun, perseorangan utama negara itu diberi tentangan sengit sebelum beroleh kemampuan menewaskan Tomato Ho Tze Lok 10-12, 13-11, 11-6, 10-12, 11-8 dalam masa 61 minit.

Pemain No. 25 dunia, Rachel Arnold yang turun selaku perseorangan kedua, bermain dengan cukup cemerlang membenam Tong Tsz Wing 11-6, 11-5, 11-8 dalam masa 27 minit .

Kemenangan tersebut sudah cukup menjulang Malaysia selaku juara Asia, tanpa perlu perseorangan ketiga, Aifa Azman memerah keringatnya berdepan Lee Ka Yi.

Skuasy wanita yang diletakkan sebagai pilihan pertama menepati sasaran menjuarai kejohanan pada edisi kali ini, selepas muncul naib juara pada 2022. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya