FAM lega, projek NTC bakal siap 2027

FAM lega, projek NTC bakal siap 2027

: MENTERI Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menandatangani replika Pusat Latihan Kebangsaan (NTC) pada Majlis Pecah Tanah NTC Fasa 1 di Presint 5, Putrajaya, semalam.- GAMBAR: FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Perancangan yang sudah dirancang Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sejak 15 tahun lalu akhirnya menjadi kenyataan apabila Pusat Latihan Kebangsaan (NTC) yang terletak di Presint 5, di sini, akan mula dibina pada bulan ini.

Pusat latihan terbabit yang terletak di kawasan berkeluasaan 5.2 hektar itu dengan Fasa 1 projek terbabit menggunakan dana daripada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) berjumlah RM24 juta manakala Fasa 2 pula menggunakan peruntukan RM45 juta daripada kerajaan menerusi Kementerian Belia dan Sukan (KBS), dijangka siap sepenuhnya pada Disember 2027.

Presiden FAM Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, dengan ada kemudahan ini maka barisan pemain kebangsaan tidak perlu lagi ‘menumpang’ atau ke lokasi tertentu untuk menjalani latihan sebelum mengharungi perlawanan antarabangsa.

Katanya, NTC dilengkapi kemudahan serba canggih dengan tiga padang disediakan selain beberapa fasiliti atau kemudahan khusus untuk skuad kebangsaan.

“Bagi FAM, kami bersyukur selepas selesai majlis ini kerana perjalanan yang diharungi cukup panjang. Kalau boleh saya katakan kita sudah merancang hampir 10 ke 15 tahun yang lepas sejak zaman Almarhum (Sultan Haji Ahmad Shah) lagi.

“Ketika itu baginda berhasrat mewujudkan sebuah pusat pentadbiran bersepadu yang menempatkan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) dan juga FAM dalam usaha mewujudkan hab bola sepak di rantau Asia,” katanya dalam sidang media pada Majlis Pecah Tanah NTC di Presint 5, di sini, semalam.

Hadir sama pada majlis itu Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh, Presiden Liga Bolasepak Malaysia (MFL) Datuk Ab Ghani Hassan dan Setiausaha Agung Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) Datuk Seri Windsor John dan Pengerusi Perbadanan Putrajaya, Datuk Fadlun Mak Ujud.

Mengikut perancangan asal, projek yang diumumkan pada 2019 itu sepatutnya bermula pada 2022 seperti yang dimaklumkan bekas Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan seterusnya dijangka siap pada 2025.

Projek berkenaan adalah kesinambungan daripada pembinaan ibu pejabat baharu Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dengan majlis pecah tanah disempurnakan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 2022.

Sementara itu, Hamidin tidak menolak kemungkinan beberapa NTC tambahan akan dibina sekitar Malaysia selepas projek perintis di Putrajaya dijangka selesai pada 2027 nanti.

“Kalau NTC di Putrajaya ini sudah siap, mungkin kita boleh fikirkan untuk bina NTC di lokasi lain seperti di wilayah utara atau Pantai Timur. Apa yang penting, kita tunggu projek di sini siap dulu dijangka pada hujung 2027 nanti,”ujarnya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya