GELSENKIRCHEN, Jerman: Jude Bellingham memastikan England memulakan kempen Euro 2024 dengan langkah kanan apabila menang 1-0 ke atas Serbia.
Bagaimanapun kejayaan mengutip tiga mata berharga itu menimbulkan keraguan tentang kemampuan The Three Lions untuk bergelar juara Eropah buat kali pertama.
Bellingham berada dalam kelas tersendiri di Gelsenkirchen apabila tandukan pemain tengah Real Madrid itu pada minit ke-13 sudah cukup memastikan pasukannya meraih tiga mata.
Berdasarkan corak permainan ditampilkan England, pasukan itu dilihat jauh menyamai piawaian yang ditunjukkan Jerman dan Sepanyol dalam aksi pembukaan.
Dengan menurunkan skuad terkuat, skuad kendalian Gareth Southgate menguasai permainan namun bergelut untuk mengubah dominasi mereka kepada peluang menjaringkan lebih banyak gol.
Serbia yang ‘berkampung’ di kawasan sendiri dan menamatkan separuh masa pertama tanpa percubaan tepat di Arena AufSchalke bagaimanapun beraksi lebih baik pada babak kedua walaupun tidak banyak mencipta peluang menghasilkan jaringan.
Penjaga gol Serbia, Predrag Rajkovic bertindak cemerlang untuk menyelamatkan gawang pasukannya daripada dibolosi kali kedua apabila menafikan tandukan jarak dekat Harry Kane pada minit ke-77.
“Saya rasa dalam setiap perlawanan saya mampu memberi impak kepada pasukan. Saya sentiasa ingin menyumbang dan menghadiahkan keputusan positif.
“Ia satu nikmat apabila dapat bermain bola sepak dan membantu pasukan kerana permainan paling saya minati di dunia.
“Jadi saya tidak merasakan sebarang tekanan setiap kali saya diturunkan, malah saya cukup bermotivasi untuk membantu pasukan,” kata Bellingham.
Dengan kemenangan itu, England kini memimpin carta Kumpulan C selepas satu lagi aksi menyaksikan Denmark dan Slovenia terikat 1-1.-AGENSI