PETALING JAYA: Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) kekal menjadi ‘kandang’ Harimau Malaya bagi aksi terakhir kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Taiwan pada 11 Jun ini.
Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia, Datuk Noor Azman Rahman berkata, keadaan padang SNBJ ketika ini agak ‘sempurna’ dan perlawanan berkenaan dijangka berjalan lancar.
Noor Azman berkata, pihaknya kini berharap seramai 80,000 peminat Harimau Malaya dapat hadir menyokong pasukan negara dalam usaha layak ke pusingan kelayakan ketiga Piala Dunia 2026.
“Setakat ini padang SNBJ memang memuaskan dan FAM sangat berpuas hati. Kita juga telah melakukan mesyuarat baru-baru ini dengan memberi penekanan terhadap aspek keselamatan kerana jangka ramai penyokong yang akan hadir.
“Jika kita menang di Kyrgyzstan, pasti ada harapan untuk aksi terakhir bertemu Taiwan dan sudah tentu kita mahu jumlah maksimum 80,000 penyokong memenuhi stadium nanti,” katanya ketika ditemui.
Sebelum ini, permukaan padang di stadium keramat itu mendapat kritikan hebat daripada pelbagai pihak selepas kelihatan tidak sempurna untuk dijadikan venue bagi aksi berkelas antarabangsa.
Terbaharu, padang SNBJ juga tidak berada pada tahap terbaik ketika Harimau Malaya menentang pasukan Oman pada Mac lalu susulan penganjuran konsert Ed Sheeran yang berlangsung pada Februari.
Sementara itu, Noor Azman turut mengesahkan pihak persatuan hanya mampu mengatur perlawanan ujian menentang kelab Liga Super selepas beberapa negara menolak tawaran untuk aksi persahabatan.
“Kita telah mohon empat ke lima negara untuk aksi persahabatan tetapi tidak berjaya kerana bukan kalendar FIFA. Justeru, kita lakukan aksi ujian dengan kelab tempatan dan jurulatih (Kim Pan Gon) masih berpuas hati,” katanya