PETALING JAYA: Atlet taekwondo negara, Nur Humaira Abdul Karim boleh dilabel sebagai seorang wanita yang berjiwa kental.
Hal ini kerana dia terpaksa mengorbankan sambutan Hari Raya Aidilfitri selama tiga tahun berturut-turut tanpa keluarga disisi.
“Tahun lalu saya di Korea Selatan dan tahun-tahun sebelum itu berada di Kuala Lumpur sebab PKP (Perintah Kawalan Pergerakan).
“Tahun lalu, jurulatih bagi raikan Hari Raya di sebelah pagi, kemudian sebelah petang terus jalani latihan.
“Kira lebih kurang tiga jam jurulatih beri peluang beraya dan kemudian terus berlatih.
“Namun sejak daripada dulu lagi saya sudah biasa berjauhan dengan keluarga, jadi tak ada sebarang masalah,” katanya.
Nur Humaira mencipta kejutan pada Sukan SEA Kemboja tahun lalu apabila memenangi pingat emas acara poomsae individu.
Dia turut meraih perak menerusi acara berpasukan bergandingan bersama kakaknya, Nurul Hidayah dan Lim Jia Wei.
Kejayaannya itu menyaksikan Nur Humaira berjaya merangkul gelaran Olahragawati Universiti Malaya pada Anugerah Sukan UM (ASUM) 2023, baru-baru ini. – UTUSAN