PETALING JAYA: Pelumba cilik negara, Qabil Irfan Azlan meraih satu pendedahan yang tidak mampu ‘dijual beli’ di Sepanyol demi masa depan kariernya dalam sukan pemotoran yang masih lagi ‘hijau’.
Baharu berusia 12 tahun, juara dunia pada Kejohanan Dunia MiniGP itu menerima pendedahan berbeza pula tahun ini apabila bersaing dalam kancah perlumbaan Moto4 pada Kejohanan Superbike Sepanyol (ESBK).
Untuk aksi sulung Qabil, prestasi yang dipamerkan tidak menghampakan, malah, Ketua Pasukan ZK Racing, Zulfahmi Khairuddin berkata, tujuan mereka datang ke Sepanyol adalah untuk memberi pengalaman awal kepada Qabil berlumba di Eropah.
“Selesai pusingan pertama ESBK di Jerez. Ini adalah pengalaman pertama pasukan kita berlumba di ESBK kategori Moto4 bersama pelumba muda daripada Malaysia.
“Keputusan pada perlumbaan 1 adalah keputusan yang membanggakan, manakala, keputusan untuk perlumbaan 2, ia merupakan pengalaman yang berharga untuk kita perbaiki pada pusingan yang akan datang,” katanya.
Menurut bekas pelumba Moto2 dan Moto3 negara itu, sepanjang minggu lepas di Litar Jerez, Qabil menghabiskan sesi latihannya di tempat kesembilan dan ke-10.
Bagaimanapun, jelasnya, dalam perlumbaan sebenar, anak jati Terengganu itu yang bernaung di bawah pasukan Frando Racing VHC Team berjaya menempatkan dirinya berada dalam kelompok hadapan bersaing untuk podium.
“Qabil menghabiskan perlumbaan di tempat keenam, tetapi, perlumbaan 2 merupakan satu saingan yang sukar buat Qabil, di mana dia tidak berasa yakin dengan motosikalnya.
“Litar pula terasa licin sejak pusingan pertama lagi hinggalah perlumbaan berakhir kerana cuaca yang sejuk, ini adalah pengalaman yang bagus untuk Qabil dan pasukan,” ujarnya.
Zulfahmi memberitahu, dia dan Qabil yang turut ditemani bapanya sepanjang di Sepanyol pulang ke tanah air, semalam, untuk sambutan Hari Raya Aidilfitri.
“Selepas itu, kami akan kembali ke litar untuk berlatih sebagai persiapan pusingan kedua di Valencia,” tambahnya-UTUSAN