Piala Asia B-23: Harimau Muda senasib dengan Harimau Malaya

Piala Asia B-23: Harimau Muda senasib dengan Harimau Malaya

PENYERANG Muda negara, Fergus Tierney melakukan percubaan pada aksi menentang Vietnam di Piala Asia B-23 di Stadium Antarabangsa Khalifa di Doha, Qatar.-IHSAN FAM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kempen skuad bawah 23 (B-23) tahun negara di Piala Asia B-23 berakhir di peringkat kumpulan selepas mengalami kekalahan kedua berturut-turut dalam aksi Kumpulan D.

Skuad Harimau Muda negara gagal mempamerkan kebangkitan selepas tunduk 0-2 kepada Vietnam di Stadium Antarabangsa Khalifa di Doha, Qatar sebentar tadi.

Kekalahan pertama skuad kendalian Juan Torres Garrido di tangan Uzbekistan dengan jaringan sama sekali gus kekal tanpa sebarang mata.

Keputusan itu, menyaksikan impian untuk layak ke Sukan Olimpik Paris Julai ini terkubur selepas kali terakhir layak pada temasya 1980 lalu.

Dalam aksi itu, skuad muda negara memberi amaran awal menerusi rembatan leret Fergus Tierney pada minit ketiga yang hanya sedikit tersasar.

Pasukan negara terus menekan kubu lawan sehingga memaksa barisan pertahanan Vietnam berkerja keras mengekang asakan bertali arus jentera serangan Malaysia namun dihampakan dengan ketumpulan penyudah.

Sebaliknya, lawan yang sekali sekala menyerang mendapat gol awal menerusi sepakan percuma Khuat Van Khang pada minit 39 untuk mendahului 1-0 pada babak pertama.

Bersambung babak kedua, gawang negara bocor lagi dengan Ubaidullah Shamsul Fazili menolak Bui Vi Hao dalam kotak penalti sehingga pengadil perlawanan menghadiahkan sepakan penalti kepada Vietnam.

Vo Hoang Minh Khoa tidak berdepan masalah apabila mudah menyempurnakan penalti pada minit ke-60 untuk mendahului dua gol di depan.

Penalti itu adalah kali keempat dalam empat perlawanan berturut-turut, menyaksikan badi memberi pihak lawan gol mudah kekal dengan skuad muda negara.

Tersentak dengan gol itu, Garrido melakukan tiga pertukaran serentak dengan memasukkan Muhammad Syahir Bashah, Muhammad Aliff Izwan dan Muhammad Haqimi Azim namun masih gagal menembusi benteng pertahanan Vietnam.

Peluang paling hampir untuk skuad negara memperolehi gol adalah menerusi dua percubaan Tierney masing-masing di minit 81 dan 87 serta voli Haqimi di hujung permainan namun ia tidak menemui sasaran.

Selepas ini, pasukan negara akan melengkapkan jadual perlawanan dengan menentang Kuwait di Stadium Al Janoub, Selasa ini sebelum pulang awal ke tanah air.

Dalam satu lagi perlawanan kumpulan sama menyaksikan Uzbekistan membelasah Kuwait 5-0.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya