KUALA LUMPUR: Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria menggesa semua pemain agar menghargai peluang mewakili negara.
Norza berkata, semangat patriotisme dalam diri sangat penting kerana bukan mudah untuk seorang pemain mewakili negara ke peringkat antarabangsa.
Ketika ini, penyertaan pemain perseorangan profesional negara, Lee Zii Jia ke kejohanan Piala Thomas masih menjadi tanda tanya biarpun kem negara mengharapkan kehadirannya.
“Tidak semua pemain mendapat peluang untuk mewakili negara ke persada antarabangsa. Kalau di negara lain, pemain mereka bermati-matian untuk negara.
“Jasa dan sumbangan pemain tetap dikenang selamanya oleh negara. Itu tidak boleh dibeli dengan nilai wang ringgit.
“Jadi saya harap, kita akan ada pasukan yang kuat. Kita boleh lihat prestasi semasa Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2024. Kita bariskan pasukan terbaik dan dapat bermain di final,” katanya.
Terdahulu, penyertaan Zii Jia ke Piala Thomas 2024 masih samar-samar berikutan pemain No.11 dunia itu belum memutuskan untuk menyertai pasukan negara.
Dalam masa yang sama, Norza turut menaruh harapan agar Zii Jia sudi menyertai pasukan menjelang Piala Thomas hujung bulan ini.
Katanya, kehadiran Zii Jia akan membawa perubahan yang besar dalam pasukan negara memandangkan setiap pemain terbaik dunia tidak mahu melepaskan peluang menabur bakti kepada negara.
“Saya rasa semua pemain kini berada kelompok ranking tertinggi dunia pasti ada keinginan dan mahu bersama dengan pasukan, tidak kisah sama ada Zii Jia, Tze Yong, Leong Jun Hao atau sesiapa sahaja,” katanya.
Pasukan negara bakal harungi cabaran getir selepas diundi menentang Denmark, Hong Kong dan Algeria dalam Kumpulan D Piala Thomas 2024 yang akan berlangsung di Chengdu, China.-UTUSAN