PETALING JAYA: Beregu lelaki No. 1 negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik mara ke separuh akhir selepas menyingkirkan gandingan tuan rumah, Liu Yu Chen-Ou Xuan Yi pada peringkat lapan terbaik Kejohanan Badminton Asia di Ningbo, China, sebentar tadi.
Pasangan No. 5 dunia itu melakar kemenangan straight set 21-14, 21-15 ke atas beregu kelapan dunia tersebut dalam masa 30 minit.
Pada separuh akhir, esok, Aaron-Wooi Yik berpeluang berdepan rakan senegara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani, sekiranya mereka berjaya mengejutkan pasangan No. 10 dunia dari Taiwan, Lee Yang-Wang Chi-Lin.
Sze Fei-Izzuddin kini berada pada prestasi terbaik mereka dan berjaya mengejutkan juara dunia, Kang Min Hyuk-Seo Seung Jae dari Korea Selatan pada peringkat 32 terbaik.
Bagi Aaron-Wooi Yik pula, mereka berada di landasan tepat bagi memburu gelaran Asia pertama dalam karier selepas merangkul Kejuaraan Dunia di Tokyo, dua tahun lalu. – UTUSAN