PETALING JAYA: Bukan satu permulaan yang positif apabila hanya dua wakil negara yang mampu melepasi peringkat 32 terbaik pada Kejohanan Badminton Terbuka Perancis yang membuka tirai kejuaraan di Arena Porte De La Chapelle, Paris, Perancis, hari ini.
Dua beregu lelaki iaitu Man Wei Chong-Tee Kai Wun dan Aaron Chia-Soh Wooi Yik mara ke peringkat seterusnya selepas menundukkan lawan masing-masing, manakala, empat lagi wakil Malaysia terkandas.
Beregu muda, Wei Chong-Kai Wun tidak berdepan sebarang masalah untuk mengetepikan Kevin Lee-Ty Alexander Lindeman dari Kanada 21-16, 21-8 hanya dalam masa 25 minit.
Pasangan No. 5 dunia, Aaron-Wooi Yik pula tidak lama berada dalam gelanggang gara-gara beregu Jerman, Mark Lamsfuss-Marvin Seidel mengambil keputusan menarik diri ketika pungutan mata terikat 12-12 dalam set pertama.
Pada peringkat 16 terbaik, Khamis ini, Wei Chong-Kai Wun mengharungi ujian yang cukup getir apabila perlu berdepan beregu No. 1 dunia, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty selepas gandingan dari India itu membenam beregu profesional Malaysia, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi 13-21, 22-24 dalam masa 47 minit.
Aaron-Wooi Yik pula akan menghitung pertembungan dengan pasangan Taiwan, Lee Fang-Chih-Lee Fang-Jen setelah mereka menumpaskan satu lagi pasangan negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani 19-21, 17-21 dalam masa 44 minit.
Sementara itu, dalam aksi perseorangan wanita, Goh Jin Wei akur dengan kehebatan pencabar dari China, Wang Zhi Yi apabila kalah straight set 10-21, 14-21 dalam masa 28 minit.
Turut memilih laluan serupa ialah beregu campuran yang berada di ranking ke-14 dunia, Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai yang tewas di tangan Thom Gicquel-Delphine Delrue 19-21, 16-21.
Keputusan kurang memberangsangkan khususnya daripada gandingan berpengalaman Yew Sin-Ee Yi amat membimbangkan jika mereka menyimpan hasrat untuk beraksi pada Sukan Olimpik 2024 di Paris yang bermula Julai depan.
Yew Sin-Ee Yi yang kini merudum jatuh ke ranking 14 dunia dan terkeluar daripada beregu lapan terbaik dunia akibat kecederaan yang dialami Ee Yi pada tahun lalu, perlu mengubah prestasi mereka jika mahu menghidupkan peluang ke temasya empat tahun sekali itu.
Tersingkir awal di Terbuka Perancis hanya menyukarkan laluan mereka yang perlu sekurang-kurangnya mara sehingga ke separuh akhir bagi mengutip mata yang banyak.
Begitu juga pada penampilan di All England yang bermula Selasa, minggu depan, memerlukan Yew Sin-Ee Yi mara sejauh di peringkat empat terbaik dan selepas itu, mereka perlu mencari jalan memburu gelaran pada Terbuka Perancis (19-21 Mac) dan Terbuka Madrid (26-31 Mac).
Memandangkan kelayakan ke Sukan Olimpik hanya dibuka sehingga hujung April, maka, Yew Sin-Ee Yi kini mengejar masa yang singkat untuk beraksi pada temasya tersebut yang mungkin bakal menjadi penampilan terakhir kerana faktor usia yang turut mencemburui mereka berdua.
Bagi Wei Chong-Kai Wun yang menghuni ranking No. 18 dunia, peluang beraksi di Sukan Olimpik menjadi satu misi mustahil untuk direalisasikan dan mereka berdua juga bukanlah beregu yang menjadi sandaran negara ke temasya di Paris itu.
Namun, faktor usia mereka yang masih muda, perjalanan karier kedua-dua anak muda tersebut masih panjang dan mungkin Sukan Olimpik 2028 di Los Angeles bakal menjadi gelanggang untuk mereka tunjuk kehebatan.
Bagi saingan, esok, satu hari lagi aksi peringkat 32 terbaik akan berlangsung dengan lima lagi wakil Malaysia bakal turun ke gelanggang iaitu Lee Zii Jia, Pearly Tan-M Thinaah, Vivian Hoo-Lim Chiew Sien, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing dan Chen Tang Jie-Toh Ee Wei. – UTUSAN