PETALING JAYA: Pertambahan kuota import dalam padang yang diumumkan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) untuk pasukan Liga Malaysia (Liga M) memberikan dua implikasi berbeza.
Ia secara tidak langsung ia akan mengecilkan peluang buat pemain-pemain tempatan mendapat tempat dalam kesebelasan utama, namun daripada sudut bertanding di Asia, kelab tempatan mampu memberi lebih saingan.
Bekas pemain kebangsaan, Razman Roslan mengakui keputusan MFL itu ada baik dan buruknya tetapi lebih kepada merugikan bakat-bakat muda tanah air yang berpotensi untuk digilap lebih jauh.
“Bila ramai pemain import, peluang untuk pemain tempatan kita diturunkan juga makin sukar disebabkan kuota tersebut.
“Pemain import pun bukannya semua bagus, tapi sebab mereka pemain import mungkin jurulatih terpaksa juga turunkan,” katanya ketika ditemui semalam.
MFL sebelum ini sah memberi lampu hijau buat mana-mana pasukan turunkan enam pemain import (iaitu 4+1 (Asia) +1 (Asia Tenggara) di atas padang berbanding lima pemain pada musim lalu dalam kesebelasan utama.
Razman berkata, situasi itu juga boleh memberi tekanan buat bakat-bakat tempatan dalam usaha mendapatkan minit permainan bersama pasukan kelab masing-masing.
Tambah Razman, sekiranya pemain tempatan gagal turun beraksi secara kompetitif, kemungkinan besar prestasi skuad kebangsaan pada masa akan datang juga dikhuatiri terjejas.
“Sedikit sebanyak saya rasa (prestasi Harimau Malaya) terjejas.
“Ini kerana benda itu sudah terbukti ketika Liga M tiada import pada tahun 2009 dan 2010, kita mampu melahirkan pemain-pemain tempatan berkualiti seperti Safee Sali dan Norshahrul Idlan Talaha.
“Ketika itu juga kita berjaya menang trofi Piala AFF 2010 walaupun ia hanyalah Piala AFF, tapi pemain tempatan kita mampu.
“Berbeza dengan sekarang, apabila ramai pemain import diberikan peluang beraksi, mungkin ada bakat tempatan yang sepatutnya boleh mewakili skuad negara tidak terpilih kerana kurang minit permainan,” jelasnya,-UTUSAN