Bekas pemain gesa selamatkan TRW

Bekas pemain gesa selamatkan TRW

ZAHASMI Ismail (dua dari kiri) ketika mengiringi Pengarah Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Kelantan, Mohd. Saipuddin Zakaria (tengah) pada Majlis Pelancaran Liga Akademi Bola Sepak Kijang Muda FC di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, Kelantan semalam. UTUSAN/MUSTAQIM MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Situasi Kelantan FC yang kini ibarat terpaksa ‘mengemis’ demi mendapat peluang untuk bermain di Liga M3 bukan sahaja membangkitkan amarah, malahan turut menyuntik rasa kecewa dan sedih tidak terhingga kepada penyokong setianya.

Rasa itu turut dikongsi dua pemain yang pernah menabur bakti kepada arena bola sepak Kelantan bersama The Red Warriors (TRW) ketika era kegemilangannya di persada Liga Malaysia suatu ketika dahulu.

Lagenda bola sepak Kelantan, Zahasmi Ismail menggesa agar pihak-pihak yang sepatutnya sama ada individu atau mana-mana pihak mengadakan perbincangan segera untuk mencari jalan bagi menyelamatkan bola sepak Kelantan.

“Saya tidak mahu mengatakan siapa salah atau siapa betul tetapi saya cukup terkilan dengan situasi ini. Mana-mana individu atau pihak sepatutnya termasuk pengurusan Kelantan FC sendiri, bangkitlah demi memulihkan imej bola sepak Kelantan.

“Duduk bersama dan fikirkan masa hadapan arena bola sepak negeri termasuk menyelamatkan pasukan Kelantan FC demi mengembalikan kegemilangannya,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia selepas Majlis Pelancaran Liga Bola Sepak Akademi Bola Sepak Kijang Muda FC di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini semalam.

Beliau turut bersetuju terhadap keperluan untuk menggesa diwujudkan sebuah konsortium bagi menyelamatkan TRW tetapi menekankan bahawa ia perlu dibarisi oleh mereka yang betul-betul ikhlas berjuang menyelamatkan bola sepak Kelantan.

“Ia tidak boleh dibarisi oleh mereka yang berpekentingan diri kerana konsortium berkenaan perlu betul-betul memberi fokus kepada usaha menyelamatkan masa depan sukan nombor satu rakyat Kelantan,” katanya.

Sementara itu, bekas kapten TRW, Farisham Ismail mengakui situasi Kelantan FC kini cukup menyedihkan dan merupakan sejarah hitam dalam sejarah panjang pasukan itu serta arena bola sepak di negeri Cik Siti Wan Kembang.

Katanya, barisan penyokong setia TRW paling banyak menanggung kesedihan apabila melihat pasukan kesayangan dan kebanggaan mereka seolah-olah sedang menuju kehancuran.

“Sekiranya tiada tindakan segera oleh pengurusan atau pihak-pihak yang sepatutnya, TRW mungkin akan hilang di persada Liga Malaysia. Perlu ada konsortium, pemilikan baharu atau apa sahaja langkah segera demi menyelamatkan pasukan.

“Sebagai rakyat Kelantan, kita harap TRW yang sudah lama tersemat dalam sanubari rakyat Kelantan dapat meneruskan perjuangan dengan nafas baharu. Kita mahu aura dan sorakan ‘Gomo Kelate Gomo’ terus bergema dalam arena bola sepak negara,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya