Zii Jia tarik diri akibat keracunan makanan, dua beregu turut terk

Zii Jia tarik diri akibat keracunan makanan, dua beregu turut terkandas

LEE Zii Jia
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Nasib tidak menyebelahi pemain perseorangan lelaki No. 1 Malaysia, Lee Zii Jia apabila terpaksa menarik diri akibat keracunan makanan sewaktu sedang beraksi menentang Brian Yang dari Kanada pada suku akhir Kejohanan Badminton Indonesia Masters di Jakarta, Indonesia, hari ini.

Pemain No. 10 dunia itu tumpas kepada Brian yang menghuni kedudukan ke-24 dunia 14-21 dalam set pertama.

Namun, sewaktu rehat set kedua, Zii Jia membuat keputusan tidak meneruskan permainannya dengan memberi kemenangan percuma ke atas Brian yang belum pernah menundukkan pemain negara itu dalam lima pertemuan sebelum ini.

Pasukan Zii Jia menerusi kenyataan di media sosial, X memberitahu, anak kelahiran Kedah itu terpaksa menarik diri di tengah-tengah aksi kerana keadaan tubuhnya yang tidak lagi mampu meneruskan perlawanan tersebut.

“Malangnya Lee Zii Jia terpaksa menarik diri, keadaannya semakin teruk selepas mengalami keracunan makanan sejak beberapa hari lalu.

“Zii Jia sedaya upaya untuk memberikan yang terbaik dalam perlawanan tadi, tetapi, dia sudah tidak berdaya untuk memberikan tentangan kepada Brian Yang,” jelas kenyataan tersebut di sini, hari ini.

Sementara itu, beregu wanita No. 1 negara, Pearly Tan-M. Thinaah gagal untuk membalas dendam ekoran kekalahan mereka ditangan pasangan No. 5 dunia, Liu Sheng Shu-Tan Ning pada pusingan pertama Terbuka Malaysia, dua minggu lalu.

Gandingan No. 13 dunia itu tewas buat kali kedua berturut-turut kepada wakil China tersebut 16-21, 9-21 dalam masa 40 minit.

Dalam aksi beregu campuran pula, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing turut tersingkir di peringkat lapan terbaik selepas tumpas kepada gandingan No. 1 dunia, Zheng Si Wei-Huang Ya Qiong.

Beregu No. 25 dunia itu, mempamerkan semangat juang yang tinggi setelah melakar kemenangan 21-18 dalam set pertama, namun, dalam dua set berikut mereka gagal mengekalkan rentak konsisten apabila kecundang 18-21, 13-21 ditangan wakil China tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya