Yew Sin-Ee Yi kembalikan senyuman di wajah peminat

Yew Sin-Ee Yi kembalikan senyuman di wajah peminat, selepas Pearly-Thinaah tersingkir

Ong Yew Sin dan Teo Ee Yi
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Beregu No. 12 dunia, Ong Yew Sin-Teo Yew Sin mengembalikan senyuman ke wajah peminat selepas melakar kemenangan ke atas pasangan Taiwan, Lu Ching Yao-Yang Po Han pada pusingan pertama Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia di Axiata Arena, Bukit Jalil, dekat sini, hari ini.

Yew Sin-Ee Yi beraksi cemerlang apabila menundukkan gandingan ke-23 dunia, Ching Yao-Po Han menerusi kemenangan straight set 21-14, 21-15.

Sebelum Yew Sin-Ee Yi turun ke gelanggang, kemaraan beregu wanita No. 1 negara, Pearly Tan-M. Thinaah disekat pasangan No. 8 dunia, Liu Sheng Shu-Tan Ning dari China 20-22, 15-21.

Beregu profesional negara itu yang terpaksa berehat selama lima minggu gara-gara kecederaan lutut kanan Ee Yi kembali dengan langkah positif bagi menghidupkan peluang memburu slot ke Sukan Olimpik di Paris.

Yew Sin berkata, selepas lama berehat, kemenangan ke atas pasangan Taiwan itu menjadi satu permulaan yang baik buat dirinya dan Ee Yi bagi tahun 2024.

“Hari ini kami bermain baik, kami mengikut perancangan yang telah disusun dan apa yang paling penting tidak terburu-buru menamatkan permainan terutama ketika set kedua,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Melahirkan rasa teruja dapat kembali beraksi di laman sendiri, Yew Sin memberitahu, untuk sasaran ke Sukan Olimpik, mereka perlu mempamerkan persembahan yang baik, namun, cabaran terbesar ialah bersaing dengan diri sendiri.

Mengulas pula mengenai beregu No. 5 dunia, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen dari Denmark yang menanti mereka pada pusingan kedua, Yew Sin mengakui, pasangan tersebut bukanlah lawan yang mudah dan apa yang dia boleh janjikan ialah memberikan tentangan sengit kepada pencabar itu nanti.

Sementara itu, Pearly-Thinaah yang turut lama berehat akibat kecederaan memulakan langkah kiri bagi musim 2024.

Berdasarkan rekod pertemuan Pearly-Thinaah memiliki kelebihan 2-0 ke atas pasangan China itu, tetapi, pada pertembungan, hari ini, mereka gagal menandingi corak permainan pantas yang dipamerkan lawan tersebut.

Pearly ketika ditemui pemberita berkata, beregu China itu jauh lebih bersedia berbanding dia dan Thinaah pada pertemuan itu.

“Mereka banyak bagi tekanan dekat kita, itu perkara utama yang menjadi punca kepada kekalahan kami, malah, beregu China itu juga memiliki kepantasan permainan yang lebih baik dengan persembahan yang mantap berbanding pertemuan kami sebelum ini,” katanya.

Pemain berusia 23 tahun itu, bagaimanapun, mahu terus kekal positif bagi mengharungi pertandingan akan datang.

Thinaah turut sependapat dengan Pearly apabila dia melahirkan rasa teruja dapat kembali beraksi, walaupun, permulaan mereka bagi musim 2024 sedikit tercalar gara-gara kekalahan itu.

“Bagaimanapun, ia masih satu permulaan yang baik kerana berpeluang bermain di laman sendiri untuk kejohanan sulung kami pada tahun ini,” jelas Thinaah yang enggan memikirkan terlalu jauh tentang laluan mereka ke Sukan Olimpik. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya