KUALA LUMPUR: Beregu lelaki negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi tidak memiliki jawapan tepat bagi menjawab kepada kepantasan permainan yang dipamerkan pasangan Jepun, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi pada suku akhir Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia di Axiata Arena, dekat sini, hari ini.
Walaupun mendapat sokongan penyokong, namun, gandingan No. 12 dunia itu tewas straight set 15-21, 9-21 dalam masa 34 minit.
Mengulangi pencapaian pada tahun lalu terkandas di suku akhir, terpancar kekecewaan di wajah Yew Sin mahupun Ee Yi yang menyimpan impian untuk melangkah lebih jauh lagi pada kejohanan di laman sendiri berstatus Super 1,000 itu.
“Mereka mengawal permainan dengan cukup baik, tak bagi langsung peluang kepada kami, hari ini, permainan kami serba tidak menjadi.
“Kami memang kecewa, keadaan mendesak telah mendorong kami melakukan kesilapan sendiri, kami gagal mempamerkan persembahan seperti yang kami mahukan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas berakhir perlawanan di sini, hari ini.
Menurut pemain kelahiran Melaka itu, walaupun tumpas, tetapi pencapaian melangkah ke suku akhir pada pertandingan pertama bagi musim 2024, ia boleh dianggap sebagai satu permulaan positif.
“Memang benar mara ke suku akhir masih satu pencapaian yang baik, sudah tentu ia menjadi pembakar semangat kepada kami untuk lebih yakin pada kejohanan akan datang,” ujarnya.
Sementara itu, Ee Yi secara berterus terang mengakui dia terkejut dengan corak permainan yang dipamerkan pasangan Jepun itu.
Jelasnya, Hoki-Kobayashi mempamerkan persembahan yang jauh berbeza daripada kebiasaannya dan sangat sukar untuk menandingi kekuatan permainan mereka.
“Saya memang tidak menyangka mereka bermain dengan lebih berani, saya akui lawan beraksi dengan sangat bagus, tetapi, apa pun ia satu permulaan yang baik buat kami berjaya melangkah ke suku akhir,” tambahnya.
Ee Yi turut memberi jaminan, keadaan lututnya yang masih belum pulih seratus peratus berada dalam keadaan baik pada ketika perlawanan berlangsung.
“Jangan bimbang lutut saya berada dalam keadaan baik,” katanya. – UTUSAN