Wei Kang-Wang Chang juara beregu lelaki pada Terbuka Malaysia

Wei Kang-Wang Chang juara beregu lelaki pada Terbuka Malaysia

KUALA LUMPUR 14 JANUARI 2024 - Pemain beregu lelaki China, Liang Wei Keng dan Wang Chang bergambar selepas menjuarai perlawanan akhir beregu lelaki pada Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2024 di Axiata Arena Bukit Jalil di sini, hari ini. GAMBAR: FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Beregu lelaki China, Liang Wei Keng-Wang Chang menebus kehampaan pada edisi tahun lalu apabila menjulang gelaran Terbuka Malaysia setelah membenam pasangan No. 2 dunia, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty dalam perlawanan akhir di Axiata Arena, dekat sini, hari ini.

Pasangan No. 1 dunia tersebut dipaksa bekerja keras sebelum menang ke atas pasangan India 9-21, 21-18, 21-17 dalam perlawanan yang berlangsung hampir sejam itu.

Pada edisi 2023, Wei Kang-Wang Chang terlepas peluang merangkul kemenangan di sini selepas tewas kepada beregu handalan Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto pada final.

Kejayaan itu membolehkan mereka membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak AS$96,200 (RM447,401) beserta trofi.

Wang Chang berkata, dia dan Wei Kang berdepan dengan cabaran untuk menyesuaikan diri dengan tiupan angin di dalam gelanggang.

“Biasanya kalau kami bermain di Asia Tenggara masalah sama bakal kami hadapi iaitu tiupan angin yang agak besar, jadi, kami perlu segera menyesuaikan diri,” katanya kepada pemberita sewaktu diminta mengulas mengenai kekalahan pada set pertama.

Mengulas pula cabaran berdepan beregu India, Wang Chang memberitahu, mereka pernah menentang lawan yang sama sewaktu menyertai All England pada tahun lalu.

“Situasinya sama seperti di All England, kami perlu bangkit untuk menang ke atas pasangan India tersebut.

“Semalam, kami sempat menyaksikan perlawanan separuh akhir antara beregu India menentang Korea Selatan (Kang Min Hyuk-Seo Seung Jae), kami lihat mereka mampu bangkit ketika jauh ketinggalan.

“Jadi, apabila menyaksikan mereka mampu berbuat demikian, maka, saya percaya kami juga berupaya untuk melakukan perkara yang sama,” ujarnya.

Untuk saingan beregu wanita pula, pasangan yang menyingkirkan gandingan negara, Pearly Tan-M. Thinaah pada pusingan pertama, Liu Sheng Shu-Tan Ning dari China menjulang gelaran pada kejohanan berstatus Super 1,000 itu setelah menundukkan rakan senegara, Zhang Shu Xian-Zheng Yu 21-18, 21-18.

Sementara itu, pemain No. 9 dunia, Anders Antonsen meneruskan penguasaan Denmark dalam acara perseorangan lelaki apabila menjuarai Terbuka Malaysia selepas mengejutkan bintang No. 6 dunia, Shi Yu Qi dari China 21-14, 21-13.

Pada dua edisi sebelum ini, jaguh No. 1 dunia, Viktor Axelsen mendominasi Terbuka Malaysia dan kejayaan yang diukir Antonsen yang meraih gelaran sulung di negara ini meneruskan dominasi Denmark di Axiata Arena.

Bagi acara peseorangan wanita pula, bekas anak didik jurulatih, Wong Tat Meng, An Se Young merangkul kemenangan pertamanya pada Terbuka Malaysia selepas menewaskan jaguh Taiwan, Tai Tzu Ying dalam perlawanan akhir.

Pemain No. 1 dunia berusia 21 tahun itu melakar kemenangan 10-21, 21-10, 21-18 ke atas Tzu Ying yang menghuni ranking No. 4 dunia dalam perlawanan yang berlangsung hampir sejam.

Dalam aksi beregu campuran, Yuta Watanabe-Arisa Higashino menjadi pasangan Jepun pertama memenangi Terbuka Malaysia selepas menundukkan Kim Won Ho-Jeong Na Eun dari Korea Selatan 21-18, 21-15. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya