Wajib menang dua aksi pertama

Wajib menang dua aksi pertama

SKUAD Harimau Malaya menjalani latihan di Doha, Qatar, semalam sebagai persiapan menyertai kempen Piala Asia 2023. - IHSAN FAM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bekas penyerang skuad kebangsaan, Khalid Jamlus berharap anak-anak buah Kim Pan Gon mampu mengekalkan prestasi cemerlang menjelang dua aksi pertama di Piala Asia 2023 menentang Jordan pada 16 Januari dan Bahrain pada 20 Januari ini.

Khalid berkata, dua perlawanan pertama sangat penting bagi Harimau Malaya mengutip mata semaksimum mungkin untuk menentukan hala tuju pasukan di Piala Asia 2023 kerana lawan ketiga di peringkat kumpulan, Korea Selatan mempunyai reputasi cukup tinggi.

Dalam masa yang sama, Khalid yang juga pemenang Kasut Emas dalam kancah Liga Malaysia (Liga M) pada era kegemilangannya percaya, skuad negara ketika ini berada di landasan terbaik untuk mengharungi cabaran di Piala Asia 2023.

“Dengan pasukan yang ada ini, saya rasa bukan satu masalah untuk berdepan Jordan dan Bahrain. Saya yakin skuad negara dapat menewaskan pasukan Jordan dalam perlawanan pertama untuk mengutip tiga mata pertama di Piala Asia,” katanya.

Menurut Khalid, anak-anak buah Pan Gon juga perlu berwaspada dengan cabaran yang akan diberikan oleh Jordan dan Bahrain kerana semua tahu bahawa pemain kedua-dua pasukan itu mempunyai kelebihan faktor fizikal berbanding skuad Harimau Malaya.

Khalid turut berharap pemain tempatan diberikan keutamaan berbanding naturalisasi walaupun kehadiran mereka banyak membantu memperbaiki ranking Harimau Malaya ketika ini.

“Pemain tempatan kita kini lebih baik berbanding dahulu, jadi harap mereka diberi peluang lebih untuk bermain dan menonjol, sekarang naturalisasi sudah memenuhi bola sepak negara, (kesan) jangka panjang nanti pemain tempatan tiada apa,” katanya.

Pertemuan terakhir Malaysia dengan Jordan adalah pada aksi persahabatan antarabangsa 2021 yang menyaksikan pasukan negara tewas 0-4 manakala perlawanan dengan Bahrain ialah pada kelayakan Piala Asia 2023 di mana Harimau Malaya tewas 1-2.

Malaysia yang menamatkan penantian 42 tahun untuk layak ke Piala Asia secara merit diundi dalam Kumpulan E bersama Jordan, Bahrain dan juara dua kali Piala Asia, Korea Selatan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya