Tze Yong disahkan mengalami koyak otot belakang badan

Otot belakang badan Tze Yong disahkan terkoyak

NG TZE YONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong disahkan mengalami kecederaan koyak otot di bahagian belakang badan sewaktu beraksi pada pusingan pertama Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia di Axiata Arena, Rabu lalu.

Setiausaha Agung Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Kenny Goh berkata, beliau dimaklumkan oleh jurulatih, Datuk Tey Seu Bock bahawa Tze Yong baru sahaja menjalani pemeriksaan kesihatan.

“Hasil pemeriksaan yang dilaksanakan, Tze Yong disahkan mengalami kecederaan koyakan pada otot belakang,” katanya ketika ditemui pemberita di Axiata Arena, dekat sini, hari ini.

Rabu lalu, pemain berusia 23 tahun itu terpaksa menarik diri ketika ketinggalan 8-12 menentang Koki Watanabe dari Jepun, selepas dia mendapatkan rawatan di tepi gelanggang akibat sakit belakang yang dialaminya itu.

Tze Yong ditimpa masalah tersebut selepas melakukan ‘smash’ ketika kedudukan mata terikat 7-7 dalam set pertama.

Ekoran kecederaan tersebut, Kenny memberitahu, pemain berusia 23 tahun itu terpaksa menarik diri daripada Terbuka India yang berlangsung minggu depan.

Jelas beliau, untuk Indonesia Masters, bergantung kepada keadaan semasa Tze Yong dan pemantauan akan dilakukan sama ada dia mampu beraksi atau tidak.

“Jadi, buat masa ini, hanya Terbuka India yang kita boleh sahkan Tze Yong tidak akan beraksi, untuk Indonesia Masters kita akan pantau keadaannya dari semasa ke sesama,” ujarnya.

Khabar terbaharu itu, secara tidak langsung bakal menjejaskan peluang Tze Yong bagi memburu slot ke Sukan Olimpik di Paris, Julai depan yang hanya menyediakan 16 tempat terbaik untuk acara perseorangan.

Anak kelahiran Johor Bahru itu kini menghuni ranking ke-15 dunia dan dia perlu bersaing dengan masa yang hanya tinggal beberapa bulan sebelum tarikh tutup kelayakan ke temasya empat tahun sekali itu pada 28 April.

Terbuka Malaysia yang berstatus Super 1,000 dan Terbuka India memiliki status Super 750 menawarkan pungutan mata besar buat pemain yang memburu tempat ke Olimpik.

Selain itu, kedudukan Tze Yong sama ada disenaraikan dalam skuad kebangsaan bagi menyertai Kejohanan Badminton Berpasukan Asia di Setia Alam, Selangor, Februari depan turut menjadi tanda tanya lebih-lebih lagi dengan kecederaan terbaru yang menimpanya.

Buat masa ini, hanya pemain perseorangan No. 1 negara, Lee Zii Jia yang disahkan akan menyertai skuad kebangsaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya