PETALING JAYA: Speedy Tigers perlu turun dalam misi wajib menang ke atas China dan Pakistan dalam saingan Kumpulan A kelayakan Sukan Olimpik Paris 2024 di Muscat, Oman.
Ketua jurulatih negara, A. Arul Selvaraj berkata, kemenangan ke atas kedua-dua pasukan itu akan meletakkan Speedy Tigers di kedudukan dua teratas seterusnya mara ke peringkat separuh akhir.
“Secara realistik sukar untuk Malaysia menewaskan Great Britain yang turut diundi dalam Kumpulan A. Pertama, kita perlu menewaskan China dan Pakistan. Kita perlu akhiri saingan peringkat kumpulan di kedudukan dua teratas untuk layak ke separuh akhir.
“Secara realistik berdasarkan prestasi, ranking dan kualiti, kami sedar Great Britain ada kelebihan berbanding pasukan Malaysia. Jadi, kita perlu menang ke atas China dan Pakistan untuk layak ke separuh akhir,” katanya.
Mengulas lanjut, Arul berkata, apabila berjaya mara ke separuh akhir, mereka ada dua peluang untuk merealisasikan impian layak ke Sukan Olimpik Paris 2024
“Pertama, kita menang perlawanan separuh akhir dan mara ke final atau jika kalah, kita perlu menang perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat. Hanya tiga pasukan terbaik daripada pusingan kelayakan ini akan layak beraksi di Sukan Olimpik Paris,” katanya.
Bagaimanapun, Arul, berkata tugas mencabar menanti barisan pemain negara apabila sudah melangkah ke peringkat separuh akhir kerana berkemungkinan bertemu mana-mana pasukan dalam Kumpulan B yang dibarisi Jerman, New Zealand, Kanada dan Chile.
“Kecuali Chile, Jerman, New Zealand dan Kanada adalah tiga pasukan yang secara konsisten bermain di Olimpik.
“Apabila ada pasukan yang secara konsisten bermain di Olimpik, mereka tahu bagaimana cara untuk memenangi perlawanan kerana mereka sentiasa mendapat pendedahan beraksi dalam kejohanan tertinggi. Kita pula sudah enam Olimpik tidak pergi.
“Namun, dengan barisan pemain yang dipilih kali ini, saya percaya kita boleh bersaing untuk merebut slot ke Sukan Olimpik,” katanya.
Skuad negara dijangka berlepas ke Muscat pada hari ini dan akan mengadakan dua perlawanan persahabatan menentang Kanada serta Chile pada 12 dan 13 Januari sebelum memulakan kempen kelayakan.
Speedy Tigers akan membuka tirai saingan di Muscat menentang China pada 15 Januari diikuti pertemuan dengan Great Britain (17 Januari) sebelum melengkapkan aksi terakhir Kumpulan A menentang Pakistan pada 19 Januari ini. – UTUSAN