PETALING JAYA: Gandingan mantap trio hadapan Harimau Malaya iaitu Arif Aiman Hanapi, Faisal Halim dan Akhyar Rashid perlu digunakan sebaik mungkin oleh jurulatih kebangsaan, Kim Pan Gon dalam kempen Piala Asia 2023.
Aksi yang ditampilkan oleh ketiga-tiga pemain terbabit sudah terbukti mampu membuahkan sesuatu kepada skuad negara kerana mereka dilihat menjadi rangkaian serangan terbaik yang dimiliki Harimau Malaya ketika ini.
Dalam masa yang sama, pemain lain khususnya yang beraksi di jentera serangan diharapkan dapat menyudahkan hasil umpanan dan gerakan menarik trio negara ini untuk menggegarkan jaring lawan di Piala Asia 2023.
Legenda bola sepak negara, Datuk Hassan Sani berkata, ketika ini, Arif Aiman, Faisal dan Akhyar berada di prestasi terbaik dan mereka diharapkan mampu menyumbang sesuatu yang ‘manis’ buat pasukan kebangsaaan di Qatar.
“Trio kita (Arif Aiman, Faisal dan Akhyar) sangat baik sekarang, biasanya Akhyar Pan Gon guna ketika minit-minit akhir. Apa pun yang direncanakan oleh jurulatih dari Korea Selatan itu, saya harap mereka ini dapat berikan yang terbaik untuk Harimau Malaya.
“Kalau kita tengok dalam perlawanan sebelum ini di era pan Gon, mereka bertiga beraksi dengan baik dan menepati citarasa jurulatih dari Korea Selatan itu. Jadi, di Piala Asia kali ini, kita mengharapkan perkara yang sama.
“Pemain lain juga kena main peranan, macam penyerang kena manfaatkan segala umpanan yang dihidangkan. Saya percaya kita akan melancarkan gerakan-gerakan menarik, jadi pemain lain kena bersedia untuk menyudahinya,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Mengulas mengenai perlawanan pertama menentang Jordan, Hassan berkata, Harimau Malaya ketika ini berada dalam momentum terbaik khususnya selepas berjaya mengikat Syria 2-2 biarpun lawan berada di ranking ke-91 dunia.
“Saya difahamkan kita beraksi baik dalam perlawanan itu, ini adalah petanda positif yang ditampilkan oleh para pemain selepas diadun dengan ‘resepi’ terbaik oleh barisan kejurulatihan. Ini juga menandakan mereka bersedia untuk berdepan mana-mana pasukan.
“Biarpun bolos dua gol dalam perlawanan itu, ia tidak membimbangkan kerana bola sepak adalah perkara biasa bolos. Apa yang penting ialah kita dapat menjaringkankan gol. Apa pun saya yakin kita mampu kutip tiga mata dalam aksi pertama menentang Jordan,” katanya.
Malaysia yang menamatkan penantian 42 tahun untuk layak ke Piala Asia secara merit akan memulakan kempen Kumpulan E menentang Jordan pada 15 Januari, diikuti Bahrain (20 Januari) dan juara dua kali Korea Selatan pada 25 Januari.
Hanya juara dan naib juara setiap kumpulan bersama empat pasukan ketiga terbaik layak untuk pusingan 16 pasukan di Doha.
Ini adalah penampilan keempat Malaysia dalam Piala Asia selepas layak secara merit pada 1976 di Iran, 1980 di Kuwait dan sebagai tuan rumah bersama pada 2007 tetapi tidak pernah mara ke pusingan 16 pasukan terbaik dalam kejohanan ini. – UTUSAN