Tindakan BAM senaraikan Zii Jia ke BATC tepat - Roslin

Tindakan BAM senaraikan Zii Jia ke BATC tepat – Roslin

LEE Zii Jia
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bekas pemain No. 1 Dunia, Roslin Hashim memandang positif usaha Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk membariskan perseorangan lelaki profesional, Lee Zii Jia bagi membantu skuad negara mempertahankan kejuaraan Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) yang akan berlangsung pada 13 Februari depan.

Meskipun prestasi semasa Zii Jia di dalam gelanggang tidak begitu memberangsangkan, apatah lagi dia sekali lagi tersingkir daripada pusingan pertama Kejohanan Terbuka Malaysia 2024, namun skuad negara tetap memerlukan khidmatnya untuk acara berpasukan.

Tambahan sebagai tuan rumah dan penyandang juara, Malaysia tidak seharusnya mengambil ringan tentang kejohanan ini tatkala pasukan seperti India dari awal telah mengumumkan barisan terkuat mereka,terdiri daripada Lakshya Sen, HS Prannoy, Chirag Shetty dan Satwiksairaj Rankireddy.

“Memang prestasi semasanya tidak begitu baik, tetapi kita kena ingat dia masih pemain perseorangan yang terbaik negara ketika ini, dan dia beraksi di kejohanan bertaraf yang tinggi, bukannya tahap Cabaran Antarabangsa atau Siri Antarabangsa.

“Siapa lagi pemain selepas Ng Tze Yong yang mampu galas tugas itu? Jadi saya lihat wajar Zii Jia memperkuatkan skuad negara kali ini.

“Takkan kita sebagai tuan rumah dan penyandang juara mahu hantar skuad muda tatkala pasukan lain berusaha hantar yang terkuat? Jadi kita pun wajar juga membariskan pasukan terbaik lebih lebih lagi beraksi di laman sendiri,” jelas Roslin yang dihubungi Utusan Malaysia.

Untuk rekod, Zii Jia juga sebahagian daripada tonggak skuad Malaysia yang melakar sejarah pada 2022 apabila buat pertama kalinya muncul juara Kejohanan Badminton Berpasukan Asia selepas menumbangkan Indonesia 3-0 di pentas final.

Selain Zii Jia, senarai pemain-pemain lain yang akan membarisi skuad negara untuk edisi kali ini masih belum diumumkan secara rasmi oleh BAM.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya