Tai Tzu Ying buru gelaran kelima pada Terbuka Malaysia

Tai Tzu Ying buru gelaran kelima pada Terbuka Malaysia

KUALA LUMPUR 13 JANUARI 2024 - Aksi pemain perseorangan wanita Taiwan, Tai Tzu Ying sewaktu menentang pemain China, Chen Yu Fei pada perlawanan Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2024 di Axiata Arena Bukit Jalil di sini, hari ini. GAMBAR: FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Jaguh perseorangan wanita dari Taiwan, Tai Tzu Ying memburu gelaran kelimanya pada Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia selepas mengetepikan cabaran wakil China, Chen Yu Fei pada separuh akhir di Axiata Arena dekat sini, hari ini.

Pemain No. 4 dunia itu yang bakal menginjak usia 30 tahun pada tahun ini menundukkan Yu Fei yang menghuni ranking No. 2 dunia 17-21, 21-15, 21-18.
Tzu Ying, baru-baru ini, yang mengumumkan persaraannya pada tahun ini turut memberi bayangan bahawa penampilannya pada perlawanan akhir Terbuka Malaysia, esok, menjadi yang terakhir buatnya.

“Ini mungkin Terbuka Malaysia yang terakhir buat saya, jika, saya menang, esok, ia akan jadi yang kelima.

“Untuk perlawanan akhir saya tak fikir sangat hanya mahu fokus dan menikmati permainan di Malaysia,” katanya ketika ditemui pemberita selepas perlawanan berakhir.

Tzu Ying yang ditimpa kecederaan pada Jelajah Dunia Akhir di China, Disember lalu, berkata, memandangkan kalendar Persekutuan Badminton Dunia (BWF) terlalu padat, dia tidak sempat pulih sepenuhnya.

Tanpa menyatakan secara lengkap tentang bahagian kecederaan dianggota tubuhnya, pemenang Jelajah Dunia Akhir itu mengakui, dia tidak boleh melepaskan peluang beraksi pada Terbuka Malaysia yang berstatus Super 1,000 kerana kelayakan ke Sukan Olimpik sedang berjalan.

Mengulas pula mengenai persembahannya menentang Yu Fei, Tzu Ying berkata, dia berdepan cabaran dengan tiupan angin yang agak kuat di dalam gelanggang.

“Saya berusaha kurangkan kesilapan dekat belakang gelanggang, tetapi, angin sangat kuat, jadi, saya banyak bertahan, tetapi, mujur dalam set kedua dan ketiga saya berjaya bangkit untuk bermain lebih baik,” ujarnya.

Menurut Tzu Ying, untuk penampilan terakhirnya sebelum bersara pada tahun ini, fokus dia kini hanya kepada kejohanan berstatus Super 750 dan 1,000.

Pada perlawanan akhir, esok, pemain yang memiliki kelulusan Doktor Falsafah dalam bidang Sains Sukan dari Universiti Taipei itu bakal berdepan bintang No. 1 dunia dari Korea Selatan, An Se Yong yang menewaskan pemain China, Zhang Yi Man 21-17, 21-11 dalam satu lagi separuh akhir.

Sementara itu, dalam aksi beregu campuran, gandingan No. 7 dunia dari Korea Selatan, Kim Won Ho-Jeong Na Eun mengalahkan Terry Hee-Jessica Tan dari Singapura 21-16, 21-16.

Menanti mereka dalam perlawanan akhir, esok, ialah beregu Jepun, Yuta Watanabe-Arisa Higashino setelah pasangan No. 2 dunia itu menumpaskan beregu China yang menghuni ranking kelima dunia, Jiang Zhen Bang-Wei Xa Yin 21-15, 12-21, 21-15.

Dalam saingan beregu wanita pula, pasangan No. 7 dunia dari China, Zhang Shu Xian-Zheng Yu mengejutkan gandingan No. 2 dunia, Baek Ha Na-Lee So Hee dari Korea Selatan 21-17, 21-17.

Zhang Shu-Zheng Yu bakal menghitung pertemuan dengan rakan senegara yang menghuni ranking kelapan dunia, Liu Sheng Shu-Tan Ning selepas mereka menundukkan gandingan Jepun, Rin Iwanaga-Kie Nakanishi 21-11, 21-16. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya