Stadium ragbi: KRM mahu jumpa Hannah

Stadium ragbi: KRM mahu jumpa Hannah

PRESIDEN KRM, Amir Amri Mohamad menerima dokumen simbolik sebagai penyerahan tugas daripada bekas Presiden KRM, Datuk Shahrul Zaman Yahaya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) akan mengatur pertemuan dengan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh bagi membincangkan masalah yang dihadapi dalam merealisasikan pembinaan stadium ragbi pertama negara yang tergendala sebelum ini.

Presiden KRM, Amir Amri Mohamad berkata, pihaknya akan menghantar surat kepada Hannah minggu depan dan kertas kerja berkaitan status terkini pembinaan stadium ragbi di Presint 13, Putrajaya itu akan dibentangkan pada perjumpaan berkenaan kelak.

“Kalau ikut, kita ada peruntukan pembinaan stadium, namun kita berdepan masalah tanah Jadi kita akan hantar surat untuk berjumpa dengan Hannah pada minggu depan,” katanya pada Majlis Ramah Mesra bersama exco KRM, semalam.

Bagaimanapun, Amir menjangkakan kos pembinaan stadium itu mungkin sudah meningkat berbanding peruntukan RM17 juta seperti diumumkan Kementerian Belia dan Sukan yang ketika itu diterajui Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pada 2019.

Stadium ragbi negara yang akan dibina di Presint 13, Putrajaya itu bakal dilengkapi pelbagai kemudahan seperti gimnasium, pusat rawatan, ruang komersial serta padang latihan dan mampu menampung sehingga 5,000 penonton pada satu-satu masa.

Mengulas lanjut, Amir berkata, beliau juga akan berbincang dengan Hannah mengenai hasrat menjadikan Stadium Nasional Bukit Jalil sebagai lokasi rasmi Kejohanan Ragbi Asia (ARC) Divisyen Premier 2024 dalam pertemuan skuad negara menentang Hong Kong pada 1 Jun depan.

“Kalau tidak (dapat guna Stadium Nasional Bukit Jalil) kami akan cari stadium lain dan sasaran kami ialah sekurang-kurangnya mahu menang satu perlawanan menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE) sebab mereka pasukan baharu,” katanya.

Kejohanan ARC akan disertai empat pasukan iaitu Malaysia, Hong Kong, Korea Selatan dan UAE.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya