PETALING JAYA: Mesin gol Speedy Tigers, Muhammad Razie Abd. Rahim merupakan pemain paling senior dalam skuad kebangsaan ke kelayakan Olimpik Paris di Oman.
Razie yang berumur 36 tahun sudah mengumpul 325 caps dalam skuad kebangsaan tidak lagi memikirkan untuk bersara dan akan terus bersama Speedy Tigers dalam membantu skuad itu layak ke Sukan Olimpik.
“Kita tidak tahu apa yang akan jadi di masa hadapan. Saya tidak boleh bagi jawapan mengenai persaraan sekarang.
“Perkara ini bergantung pada jurulatih dan pengurusan. Jika saya diperlukan lagi saya sentiasa akan bekerja keras dalam memberi cabaran kepada pemain lain,” katanya.
Skuad hoki negara dijangka berdepan laluan mencabar untuk mendapatkan tiket ke Sukan Olimpik Paris 2024 apabila diundi menentang Great Britain, Pakistan dan China dalam Kumpulan A di Oman nanti.
Dalam pada itu, hanya tiga pasukan terbaik dalam kejohanan ini akan memperoleh tiket ke Temasya Paris, Ogos ini.
Pakar pukulan sudut penalti negara itu juga yakin prestasi dan kemampuan yang ada pada pemain, Speedy Tigers mampu ke Sukan Olimpik.
“Saya sangat yakin peluang untuk ke Olimpik kali ini ada. Saya nampak keyakinan pemain yang sangat tinggi untuk beraksi di sana nanti.
“Kita akan bagi lebih 100 peratus dalam kelayakan ini kerana ini peluang yang terakhir untuk ke Olimpik. Mereka semua tahu apa misi dan visi kita ke sana,” katanya. – UTUSAN