Sorakan penyokong bantu Tang Jie-Ee Wei ke pusingan kedua

Sorakan penyokong bantu Tang Jie-Ee Wei ke pusingan kedua Terbuka Malaysia

Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei mahu mencipta kejutan di Sukan Olimpik Paris 2024.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Beregu campuran No. 9 dunia, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei percaya faktor penyokong yang sentiasa berada di belakang memberikan sokongan menjadi kunci kepada kejayaan mereka, hari ini, mara ke pusingan kedua Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia di Axiata Arena.

Tang Jie-Ee Wei yang mendapat bimbingan daripada bekas juara dunia dari Indonesia, Nova Widianto menundukkan pasangan No. 11 dunia, Thom Gicquel-Delphine Delrue dari Perancis 21-17, 21-18 dalam masa 47 minit.

Ketika ditemui pemberita, Tang Jie berkata, beraksi di laman sendiri memberi banyak kelebihan kepada mereka dengan sorakan penyokong yang tidak henti-henti sepanjang permainan.

“Hari ini, semua orang fokus untuk menang lebih-lebih lagi ini merupakan jelajah pertama bagi tahun ini.

“Kita pula lagi bersemangat kerana beraksi di gelanggang sendiri, kami tadi memang tak banyak fikir, cuma hari ini lebih berani, lebih yakin, sudah tentu gelanggang kita antara yang terbaik, sokongan peminat telah bantu kita banyak,” katanya di sini, hari ini.

Beregu muda negara itu yang baharu setahun digandingkan bersama, menebus kekalahan ditangan pasangan Perancis tersebut yang menewaskan mereka pada Terbuka China, hujung tahun lalu.

Ee Wei pula memberitahu, bukan mudah setiap kali perlu berdepan dengan Gicquel-Delrue, mereka membuat persediaan selama dua minggu bagi menghadapi Terbuka Malaysia.

Jelasnya, hasil kerja keras di gelanggang latihan sehingga bergaduh dengan Tang Jie, telah menjadikan kemenangan tersebut lebih bermakna.

“Walaupun kami bergaduh dalam latihan, tetapi apabila berada dalam gelanggang sebenar kami saling sokong antara satu sama lain.

“Malam ini, saya sudah boleh tidur lena dan untuk perlawanan pusingan kedua nanti, saya akan bincang dengan Tang Jie,” ujarnya.

Pada pusingan kedua, esok, pencabar yang bakal menanti mereka sama ada Vinson Chiu-Jennie Gai dari Amerika Syarikat atau beregu Jepun, Hiroki Midorikawa-Natsu Saito.

Sementara itu, dalam aksi beregu lelaki, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani turut mara ke pusingan kedua selepas menumpaskan Supak Jomkoh-Kittinupong Kedren dari Thailand 21-17, 22-20 dalam masa 39 minit. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya