‘Saya perlu lebih sabar, satu hari nanti masanya akan tiba’ - Zii Jia

‘Saya perlu lebih sabar, satu hari nanti masanya akan tiba’ – Zii Jia

KUALA LUMPUR 9 JANUARI 2024 - Aksi pemain perseorangan lelaki Malaysia, Lee Zii Jia selepas tewas sewaktu menentang pemain China, Lu Guang Zu pada perlawanan Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2024 di Axiata Arena Bukit Jalil di sini, hari ini. GAMBAR: FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Jaguh perseorangan negara, Lee Zii Jia mengakui perlu lebih sabar terutama ketika berdepan dengan situasi genting yang menjadi punca kepada kekalahannya ditangan wakil China, Lu Guang Zu pada pusingan pertama Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia di Axiata Arena, Bukit Jalil, dekat sini, hari ini.

Pemain No. 12 dunia itu tewas 21-16, 19-21, 15-21 dalam perlawanan menentang Guang Zu yang berlanjutan lebih sejam.

Zii Jia berkata, Guang Zu mempamerkan peningkatkan prestasi ketara terutama dari segi pertahanannya dan dia pula kerap melakukan kesilapan apabila hantaran sering terkandas di jaring.

“Saya perlu lebih sabar lagi, terutama ketika permainan dalam set ketiga, sebenarnya secara keseluruhan saya dapat melihat sesuatu yang positif dalam persembahan saya, tetapi, ia masih belum mencukupi.

“Saya berharap perubahan yang saya pamerkan dapat ditingkatkan lagi pada pertandingan akan datang dan mungkin kesabaran saya perlu diperbaiki,” katanya ketika ditemui pemberita selepas perlawanan berakhir.

Zii Jia yang akan terbang ke India, untuk menyertai Terbuka India, minggu depan amat berharap, kemajuan yang dia pamerkan sejak berada di bawah bimbingan jurulatih, Wong Tat Meng akan dapat dimanfaatkannya sebaik mungkin.

“Apa yang jurulatih beri tunjuk ajar itu saya ada keluarkan pada perlawanan hari ini, cuma mungkin masih belum cukup lagi,” ujarnya.

Pemain berusia 25 tahun itu juga mengakui, dia sudah bosan memberikan alasan yang sama untuk berusaha bangkit setiap kali ditimpa kekalahan.

Justeru, Zii Jia amat berharap apabila tiba masanya nanti ‘skrip’ dia akan berubah apabila berjaya menjuarai sesebuah kejohanan yang disertainya nanti.

“Saya pun benci hendak bagi jawapan sama setiap kali kalah, saya dah bosan hari-hari cakap benda yang sama.

“Tetapi, saya takkan sesekali berputus asa, ini adalah sebahagian daripada proses kemajuan saya, saya akan terus mencuba, terus bersabar, walaupun saya tak tahu bila, saya harap satu hari nanti, masanya akan tiba saya menang gelaran.

“Tidak semestinya pada Terbuka Malaysia, apa-apa kejohanan pun boleh tak kira di mana,” tegasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya