PETALING JAYA: Bekas ratu pecut negara, G. Shanti menggesa mana-mana atlet sedia ada untuk cuba memecahkan rekod kebangsaan 100 meter miliknya langsung tidak terusik selama 31 tahun.
Shanti melakar rekod berkenaan ketika dia berusia 26 tahun ketika bersaing di Kejohanan Pra-Sukan Sea pada 1993 dengan catatan 11.50 saat (s).
Baginya, tempoh lebih tiga dekad adalah jangka masa yang amat lama, justeru sudah tiba masa rekod berkenaan dipecahkan oleh mana-mana atlet sedia ada ketika ini.
“Sedih juga kerana belum ada atlet yang dapat memecahkan rekod kebangsaan itu. Bagi saya, sepatutnya rekod tersebut sudah lama dipecahkan kerana catatan 11.50s tidak ada apa pun dalam era sekarang.
“Sudah tentu harapan saya sekarang adalah untuk melihat mana-mana atlet yang boleh memperbaharui rekod kebangsaan saya itu,” jelasnya.
Shanti sebelum ini turut memegang rekod kebangsaan bagi acara 200m dengan masa 23.37s, namun selepas ia bertahan selama 25 tahun, Shereen Samson Vallabuoy mencipta sensasi tahun lalu apabila berjaya memperbaharui catatan berkenaan dengan catatan 23.33s.
Lebih menarik, Shereen yang berkelana di Amerika Syarikat turut menunjukkan peningkatan yang mendadak dengan memecahkan rekod lari 400m dengan masa 51.80s serta 400m dalam dewan menerusi catatan 53.79s.
Justeru, Shanti berharap agar Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) akan berusaha untuk menghantar lebih ramai atlet negara berpotensi menjalani latihan di luar negara kerana ia akan membawa kesan yang positif kepada skuad balapan negara.
“Kita perlu berusaha untuk mencari atlet berkaliber seperti Shereen. Selain itu, hantar mereka ke luar negara bagi menjalani latihan serta menyertai kejohanan. Kami dahulu tidak ada peluang itu tetapi masih mampu mengharumkan nama negara,” tambah Shanti. – UTUSAN