PETALING JAYA: Persatuan Berbasikal Kuala Lumpur (KLCA) kini berminat melantik bekas prinsipal pasukan RNF Racing, Datuk Razlan Razali sebagai presiden baharu badan induk itu.
Perkara ini didedahkan ahli Jawatankuasa KLCA, Datuk Ng Joo Ngan yang juga jurulatih skuad berbasikal Kuala Lumpur menjelaskan, pihaknya amat memerlukan individu yang berpengaruh untuk mengembalikan semula kegemilangan badan induk itu.
Tambah Joo Ngan, KLCA telah pun membentangkan pelan mereka kepada Razlan dalam satu perjumpaan yang dibuat di ibu kota pada pertengahan bulan lalu, dan jika tiada halangan, Razlan akan dinamakan sebagai presiden baru KLCA dalam Mesyuarat Agung Tahunan badan induk itu pada Februari depan.
Razlan sebelum ini menyandang tugas sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC) sebelum beralih mengendalikan pasukan di saingan Motogp.
“Razlan bukanlah asing sebenarnya dengan KLCA, saya sendiri telah mengenalinya sejak dia berusia 14 tahun. Bagi saya dia masih mempunyai pengaruh dan kami amat memerlukannya bagi menarik penaja dan pihak yang berkaitan untuk memulihkan semula persatuan ini.
“Kami mahu kembali menjadi tempat yang menghasilkan produk-produk tempatan yang berkualiti tetapi jika kami tidak mempunyai dana yang mencukupi, ia adalah amat sukar untuk dijalankan. Jadi sebab itu kami bercadang untuk mengambil, tambahan dia juga turut meminati sukan berbasikal,” kata Joo Ngan kepada Utusan Malaysia.
Bagi Joo Ngan, dia dan barisan tertinggi KLCA tidak peduli tentang kontroversi di pentas MotoGP sebelum ini.
“Saya tidak tahu menahu tentang perkara itu. Bagi saya mudah, beri dia (Razlan) setahun untuk mengemudi KLCA dan kami akan membantunya menaikkan semula persatuan ini kepada zaman kegemilangannya,” tambah Joo Ngan.