PETALING JAYA: Jurulatih olahraga kena memainkan peranan besar untuk memastikan anak-anak didik mereka tidak mengambil makanan tambahan yang mengandungi bahan terlarang.
Pengerusi Jawatankuasa Perubatan KOM Datuk R. Annamalai berkata, makanan tambahan itu merangkumi produk yang dibeli secara dalam talian termasuk kopi atau produk untuk menjadi kurus dan cantik
“Kita ada beberapa langkah yang akan diambil untuk atasi masalah doping termasuk akan lebih kerap untuk bagi kesedaran tentang bahan terlarang. Perkara ini terjadi kerana atlet tidak rujuk jurulatih dan doktor di ISN.
“Jurulatih juga akan dipanggil untuk hadiri seminar ini untuk mereka beritahu kepada atlet. Jurulatih juga kena kerap periksa barang apa yang atlet makan termasuk kopi, produk jadi cantik atau kurus untuk lihat sama ada ada bahan terlarang atau tidak.
“Produk itu bukan bagus untuk olahraga tapi untuk tujuan lain. Mereka tidak buat semakan dengan doktor, ini yang mendatangkan masalah,” kata Annamalai ketika ditemui pemberita, semalam.
Terdahulu, seorang atlet lompat tinggi negara positif doping digantung dua tahun bermula 2 Jun 2023 hingga 1 Jun 2025 selepas dikesan menggunakan bahan terlarang sibutramine di Kejohanan Olahraga Trek dan Padang tahun lalu.
Pada 11 Jun tahun lalu, Utusan Malaysia melaporkan atlet terbabit tiada niat mengambil bahan terlarang untuk meningkatkan prestasi, sebaliknya dia naif ketika mengambil produk menguruskan badan.
Ketua Jurulatih Olahraga Kebangsaan ketika itu, Zaki Sadri mendedahkan, atlet pelapis dalam acara lompat tinggi yang berada di bawah program Majlis Sukan Negara (MSN) itu mengambil kopi dengan tujuan menurunkan berat badan.
Kesilapan terbesar atlet wanita berusia berusia 20-an itu ialah tidak mendapatkan khidmat nasihat daripada jurulatih dan Institut Sukan Negara (ISN) sebelum mengambil produk yang mudah diperoleh di pasaran tersebut.
Mengulas lanjut, Annamalai berkata, atlet itu berhak merayu larangan itu dan atlet kelahiran perak itu diberikan tempoh selama dua minggu untuk berbuat demikian daripada tarikh keputusan yang dikeluarkan Agensi Anti-Doping Malaysia (Adamas).
“Dia berhak untuk merayu dan kita beri dia masa dua minggu untuk berbuat demikian,” katanya. – UTUSAN