KUALA LUMPUR: Wakil negara dalam saingan beregu campuran, Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai disekat kemaraan mereka oleh Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai pada pusingan kedua Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia di Axiata Arena, dekat sini, hari ini.
Soon Huat-Shevon yang menghuni ranking ke-15 dunia tewas straight set 15-21, 12-21 kepada pilihan keenam dari Thailand itu dalam masa 39 minit.
Shevon berkata, terperangkap dengan strategi lawan yang menerapkan corak permainan pantas telah menyebabkan mereka gagal dan sentiasa ketinggalan di belakang Dechapol-Sapsiree.
“Kami sebenarnya sangat mengenali antara satu sama lain kerana pernah dua kali berlatih bersama, tetapi, hari ini, dari segi kelajuan, kami tak dapat ikut terutama apabila rali berlangsung lama kami senang buat kesilapan,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Menurut pemain berusia 30 tahun itu, aksi dalam set kedua pula, dia terlalu banyak berfikir sehingga ragu-ragu menyempurnakan pukulan yang mengakibatkan kesilapan terus berlaku.
“Lawan kami pula bermain dengan cukup baik apabila setiap pukulan yang mereka lakukan tepat ke sasaran, sedangkan permainan saya tidak stabil dan tidak konsisten.
“Semasa kami cuba hendak menyerang, lawan dengan mudah membaca yang kami nak turunkan bola, jadi, mereka dapat tangkap kita dari sana, seterusnya kami tak siap untuk tahan asakan mereka,” ujarnya.
Soon Huat turut sependapat dengan Shevon apabila menyifatkan pencabar mereka itu bijak mengatur strategi dengan menyekat langkah mereka untuk melancarkan serangan.
Sementara itu, dalam aksi perseorangan wanita, Goh Jin Wei turut gagal melangkah ke suku akhir selepas tumbang ditangan pemain No. 7 dunia, Gloria Mariska Tunjung dari Indonesia 15-21, 22-24.
Tersingkirnya Jin Wei, hari ini, menyaksikan cabaran Malaysia dalam acara perseorangan telahpun berakhir, selepas dua wakil lelaki, Lee Zii Jia dan Ng Tze Yong terkandas di pusingan pertama. – UTUSAN