PETALING JAYA: Keupayaan skuad Harimau Malaya mengikat Syria membuktikan semua barisan pemain memiliki keistimewaan dan kesesuaian dengan perancangan ketua jurulatih kebangsaan, Kim Pan Gon.
Sepanjang daripada awal hingga sekaran di bawah pengendali dari Korea Selatan, bekas jurulatih berpengalaman Azraai Khor Abdullah mengakui banyak perkara positif berlaku dalam skuad negara.
Tegasnya, walaupun berdepan kritikan dalam pemilihan pemain yang kurang minit permainan untuk dibawa ke Doha, Qatar sebelum ini, beliau percaya pemilihan Pan Gon adalah berdasarkan taktikal yang ingin diterapkannya.
“Kalau kita tengok setiap perlawanan Pan Gon akan menyesuaikan kesebelasan utama dengan lawan yang akan dihadapi biarpun ada yang mempertikaikannya.
“Bagi saya ketua jurulatih sedar tentang tanggungjawab besarnya dan tahu apa yang dilakukan. Jadi kita perlu yakin dengan percaturan dia selama ini walaupun banyak menggunakan pemain mat saleh (naturalisasi dan warisan) tapi kita kena akui kemampuan dia dan paling penting beri sokongan.
“Kalau kita tengok ranking Syria (91) dengan ranking kita (130) jauh beza tapi kita mampu beri saingan dengan Arif Aiman (Hanapi) jaring gol awal dan bangkit menyamakan kedudukan menerusi Paulo (Josue), malah menguasai perlawanan pada akhir perlawanan, maknanya kita ada kekuatan,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.
Dalam masa sama, Azraai turut memberi kredit kepada Pan Gon kerana memadam anggapan segelintir pihak yang mendakwa penyertaan skuad Harimau Malaya di Piala Asia 2023 sekadar ‘makan angin’.
“Satu lagi saya suka cara dia kerana bukan bawa pasukan makan angin. Babak pertama pemain lain dan babak kedua dia pastikan semua pemain dapat minit permainan.
“Walaupun kesebelasan utama dikeluarkan pemain lain masih mampu memberi saingan kepada Syria, ini perkara positif. Dia ada percaturan sendiri dan akan menilai setiap pemain lepas perlawanan. Peluang untuk mara lebih jauh (di Qatar) adalah positif,” ujarnya.
Ketika ditanya mengenai dibolosi dua gol dalam tempoh empat minit, Azraai percaya barisan kejurulatihan sudah mengenalpasti kelemahan itu dan akan diperbaiki secepat mungkin.
“Kadang-kadang dalam keadaan demikian apabila kena gol, pemain mungkin masih tergamam sementara tetapi pihak lawan terus lancar serangan bertubi-tubi (hingga dapat gol kedua).
“Jadi barisan jurulatih sudah nampak kelemahan itu untuk atasi, Pan Gon sendiri kata dia akan buat ‘post mortem’ untuk memperkemaskan lagi pasukan (sebelum perlawanan seterusnya),” jelasnya.
Harimau Malaya akan membuka kempen Piala Asia berdepan Jordan pada awal pagi (waktu Malaysia), 16 Januari ini sebelum menentang Bahrain (20 Januari) dan Korea Selatan (25 Januari). – UTUSAN