Peluang Malaysia tamat penguasaan Thailand

Peluang Malaysia tamat penguasaan Thailand

Sistem kiraan baharu berkonsepkan 15 mata dan giliran satu servis dalam sepak takraw akan memberi peluang sama rata kepada mana-mana pasukan bertanding.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sistem kiraan baharu berkonsepkan 15 mata dan giliran satu servis dalam sepak takraw akan memberi peluang sama rata kepada mana-mana pasukan bertanding.

Jika sebelum ini Thailand selesa dengan sistem 21 mata, pengenalan sistem baharu itu dijangka boleh menggugat raja takraw itu untuk mengekalkan penguasaan.

Bagaimanapun, untuk memberikan cabaran kepada Thailand, Malaysia perlu memperkemaskan rentak permainan khususnya dalam elemen serangan, bertahan selain servis.

Ketua jurulatih sepak takraw negara, Ahmad Jais Baharun berkata, tidak mustahil untuk skuad negara mengatasi Thailand selepas Persatuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf) memperkenalkan sistem kiraan mata baharu.

“Bagi saya secara peribadi, sistem ini sangat baharu. jadi, mana-mana pasukan ada peluang agak setara. Namun, kita kena fikir bagaimana cara nak perkemaskan lagi bahagian serangan dan pertahanan.

“Kita perlu gunakan peluang ini sebaik mungkin, elak kesilapan mudah dalam soal sasaran servis dan pertahanan. Sekarang pemain negara sudah mula menjalani latihan menggunakan sistem kiraan baharu ini.

“Pemain dapat terima dengan baik dan bagi saya, ini adalah peluang untuk kita perbaiki prestasi semasa. Elemen serangan dan pertahanan sangat penting untuk kita lebih kedepan selepas ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Ditanya ada latihan tambahan untuk tekong selepas pengenalan giliran satu servis, Ahmad Jais berkata, ada perubahan dalam corak latihan posisi tekong dengan penekanan kepada aspek fizikal dan masa melakukan servis.

“Kita akan memberikan lebih fokus kepada elemen kekuatan dan ketepatan. Kita juga akan berbincangan dengan Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN) untuk kemaskan tekong agar lebih berdaya saing,” katanya.

Dalam pada itu katanya, Piala Emas Khir Johari 2024 akan menjadi platform untuk memilih empat lagi pemain skuad elit kebangsaan bagi melengkap senarai 18 pemain yang akan mewakili negara.

“Sekarang kita ada 14 pemain dan kita akan memilih empat lagi di Piala Emas Khir Johari 2024. Kita akan melihat dua pemain di posisi tekong, seorang apit kiri dan seorang apit kanan. Namun, ia juga bergantung kepada prestasi di setiap posisi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya