PETALING JAYA: Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) memandang positif format baharu Kejohanan Ragbi Asia (ARC) Divisyen Premier 2024 yang dirombak menjadi empat pasukan termasuk kehadiran pendatang baru, Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Sejak Malaysia layak ke saingan utama Asia itu pada 2018, skuad 15 sepasukan (s) negara masih belum berupaya mencatatkan sebarang kemenangan ke atas Hong Kong mahupun Korea Selatan.
Atas kertas, skuad Bunga Raya menduduki tangga ke 51 dunia, manakala UAE pula berada 10 anak tangga di bawah pasukan Malaysia.
Presiden KRM, Amir Amri Mohamad percaya ini adalah peluang buat Malaysia untuk mencipta kemenangan pertama di saingan itu setelah berputih mata selama empat edisi.
“Kalau kita amati dengan teliti, tahap kita dengan UAE tidak jauh beza, dan tidak keterlaluan untuk saya katakan kita boleh mengatasi mereka.
“Semasa mereka di Divisyen Satu pun, mereka tidak menentang lawan-lawan yang kuat, cuma kekuatan mereka mungkin kepada pemain naturalisasi mereka.
“Apa pun kami akan membuat persiapan yang lebih awal untuk tahun ini,” kata Amir kepada Utusan Malaysia.
Selain itu, KRM bercadang untuk mencari jurulatih baru untuk mengendalikan skuad 15s bagi menggantikan Farid Syazwan Abu Bakar.
Dalam masa yang sama, KRM turut dalam perbincangan sama ada masih mahu menggunakan Stadium Nasional Bukit Jalil untuk perlawanan menentang Hong Kong pada 1 Jun depan.
Tahun lalu, KRM menjadikan Stadium Saidina Hamzah, di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Gombak sebagai gelanggang rasmi untuk Kejohanan Ragbi Asia.
“Kami akan bersidang minggu hadapan, dan saya perlu melihat kertas kerja dan bajet yang kami ada sebelum kami dapat putuskan sama ada mahu menggunakan SNBJ ataupun tidak untuk dijadikan tuan rumah bagi perlawanan ARC pada tahun ini,” tambahnya.