KUALA LUMPUR: Negeri Sembilan hampir diranapkan peluang apabila hanya menang tipis dengan sembilan larian ketika menentang Perlis dalam Kejohanan Kriket Antara Negeri di Kelab Aman, Kuala Lumpur, semalam.
Juara bertahan itu mengumpulkan angka mengaibkan; hanya 136 larian sewaktu memukul pada sesi pagi bagi memberikan peluang terbuka bagi Perlis dalam saingan 40 over itu.
Apa pun Perlis tidak berkemampuan mencapai kejutan dengan cuma mengumpulkan 127 larian; berbaki lima lagi balingan.
”Saya jangka peluang kami (Perlis) terbuka luas tetapi lain pula terjadi. Sebahagian pemukul kami mengecewakan,” kata Timbalan Presiden Persatuan Kriket Perlis, Azmi Jaafar.
Setelah memenangi undian, Negeri Sembilan kehilangan tiga wiket seawal 13 larian. Mereka semakin sengsara apabila kaptennya, Shafiq Sharif dipulangkan ke astaka dengan hanya menyumbang dua larian.
Saufi Salim (46 larian) yang memukul hingga dikeluarkan dalam gandingan wiket terakhir berikutan mati halangan kaki menerusi serbuan pemutar kidal Negeri Sembilan, Fitri Sham hanya dapat memastikan Perlis terhenti pukulan dalam 39.1 over.
Kejohanan tahunan merebut Perisai Raja-Raja ini dianjurkan Persatuan Kriket Melayu Malaysia sejak tahun 1951. – UTUSAN