WIGAN: Manchester United tidak menghadapi masalah untuk melepasi pusingan ketiga Piala FA selepas membenam Wigan Athletic dengan keputusan 2-0 dalam aksi yang berlangsung awal pagi tadi.
United yang bertandang ke Stadium DW membariskan kesebelasan terbaik mereka berdepan barisan anak buah Shaun Maloney.
Sejak perlawanan bermula, United garang melancarkan asakan bertubi-tubi, dengan peluang terbaik mereka hadir pada minit ke 13, namun rembatan Marcus Rashford ditepis penjaga gol Wigan, Sam Lloyd Tickle.
Diogo Dalot memastikan pasukan pelawat dihadapan pada minit ke 21 selepas melakukan lencongan ke arah gawang Wigan.
Aksi di babak kedua juga tidak kurang hebatnya, namun United berdepan kebuntuan untuk menggandakan jaringan.
Sehingga insiden pada minit ke 72 yang menyaksikan pemain Wigan, Liam Shaw mengasari Bruno Fernandes dalam kotak penalti.
Pengadil perlawanan tidak teragak-agak untuk memberikan sepakan penalti kepada pelawat dan Fernandes mudah meletakkan bola ke dalam gawang lawan.
Keputusan itu kekal sehingga tamat perlawanan.
Lawan United di pusingan keempat adalah pemenang perlawanan di antara Eastleigh ataupun Newport County yang akan berentap awal pagi esok.