PETALING JAYA: Skuad hoki lelaki dan wanita negara hanya meletakkan sasaran selamat iaitu layak ke suku akhir Piala Dunia Hoki 5s di Muscat, Oman yang akan bermula pada penghujung Januari ini.
Skuad lelaki yang dibimbing Wallace Tan, dan skuad wanita yang dibimbing bekas pemain tengah negara, Nabil Fiqri Mohd Noor mempunyai dilema sama apabila tidak mempunyai data yang cukup tentang lawan mereka di kejohanan itu memandangkan ini merupakan edisi pertama Piala Dunia Hoki 5s yang dianjurkan oleh Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH).
Satu-satunya maklumat dimiliki skuad negara ketika ini adalah berdasarkan kejohanan Piala Asia Hoki 5s yang berlangsung di Salalah, Oman pada September tahun lalu, namun data tersebut terhad kepada pasukan di benua ini sahaja.
Di Piala Dunia nanti, skuad wanita diletakkan dalam Kumpulan D akan berentap dengan Fiji, Oman dan Amerika Syarikat akan memulakan kempen mereka pada 24 hingga 27 Januari, dan aksi bagi acara lelaki akan bermula pada 28 Januari dengan Malaysia akan berentap dengan Fiji, Belanda dan Oman dalam Kumpulan A.
“Bagi saya persaingan adalah terbuka kerana kejohanan ini adalah julung kali diadakan dan kita juga tidak tahu banyak tentang pencabar-pencabar kita selain daripada pasukan yang kita pernah berentap di Piala Asia tahun lalu.
“Bagi saya kita hanya akan dapatkan gambaran semua pasukan selepas tamat Piala Dunia, tetapi apabila kita di sana nanti, kita perlu cuba mengadaptasi dan cuba yang terbaik,” jelas Wallace kepada pemberita semalam.
Nabil pula enggan menjadikan pencapaian berada di tempat ketiga Piala Asia September sebagai ruang buat anak buahnya mendabik dada apabila turun beraksi di Piala Dunia nanti.
“Pendekatan saya untuk kejohanan kali ini satu perlawanan demi perlawanan sebab kia tahu kejohanan hoki 5s ini adalah satu kejohanan yang baru.
“Untuk Piala dunia jadi kita tak boleh meletakkan ranking dunia untuk kejohanan hoki 5s itu sebagai penanda aras untuk pasukan yang lain, kita tidak tahu mengenai Eropah, yang cuma kita adalah maklumat pasukan Asia,” kata Nabil.