PETALING JAYA: Penyerang muda negara, Luqman Hakim Shamsudin hari ini secara rasmi diumumkan sebagai pemain baharu Yokohama SCC.
Luqman menyertai kelab divisyen tiga Jepun secara pinjaman daripada KV Kortrijk dan difahamkan usaha itu bagi memberikan lebih minit permainan kepadanya.
“Kami mahu memaklumkan bahawa satu keputusan sudah dibuat yang mana Luqman Hakim akan menyertai kelab secara pinjaman dari KV Kortrijk (Belgium),” kataYokohama SCC dalam satu kenyataan.
Kelab berkenaan turut berkongsi kenyataan ringkas Luqman yang menjelaskan bahawa pemain kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu gembira dapat menyertai Yokohama.
“Yokohama SCC adalah kelab yang hebat dan saya berasa sangat selesa untuk berada di sana. Saya tidak sabar untuk memulakan cabaran baharu dan dari sekarang saya akan lakukan yang terbaik buat kelab,” kata Luqman.
Luqman sebelum ini pernah berhijrah ke kelab Iceland, Njardvik FC juga secara pinjaman sebelum kembali semula bersama KV Kortrijk.-UTUSAN