PETALING JAYA: Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM) menjadikan tumpuan tahun 2024 untuk menaikkan ranking dunia dalam kalangan pemain muda sebagai persiapan awal layak ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028.
Setiausaha Kehormat SRAM, Nafzahizam Adnan berkata, selain Ng Eain Yow dan S. Sivasangari pemain terbaik negara ketika ini, pihaknya juga mahu memastikan naib juara remaja dunia, Aira Azman (49 dunia), C. Ameeshenraj (136 dunia) dan Hafiz Zhafri (173 dunia) menerima pendedahan sewajarnya.
“Kita mempunyai empat tahun lagi, dalam tempoh itu, SRAM kena bekerja keras bagi memastikan tiga pemain muda berpotensi besar ini berada dalam radar yang sepatutnya.
“Jika kita lihat daripada faktor usia, Aira, Ameeshanraj dan Hafiz yang berumur 19 dan 22 tahun, apabila tiba LA 2028, mereka berada pada umur yang matang.
“Persediaan rapi untuk mereka bertiga diperlukan dengan program latihan dan kejohanan di luar negara bagi membantu melonjakkan ranking masing-masing,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, semalam.
Menurutnya, pemain-pemain muda itu amat memerlukan sokongan daripada Institut Sukan Negara (ISN) dan juga Majlis Sukan Negara (MSN) bagi memastikan pendedahan yang mereka terima dapat berjalan dengan betul.
Jelas beliau, selepas Sukan Olimpik di Paris, Julai depan, skuasy yang disenaraikan dalam Road To Gold (RTG) akan mula menerima sokongan daripada MSN dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
“Buat masa ini, Sivasangari (No. 14 dunia) dan Eain Yow (No. 19 dunia) kita masukkan dalam RTG, tetapi, jika perancangan SRAM berjalan lancar dan ranking pemain-pemain muda ini dapat ditingkatkan, maka, peluang mereka berada dalam RTG itu cerah,” ujarnya.
Nafzahizam memberitahu, Sivasangari kekal berpangkalan di Amerika Syarikat, manakala, Eain Yow yang bakal menamatkan pengajiannya di Bristol, England, Mei ini, turut meneruskan latihan di United Kingdom.
“Untuk pemain wanita, kita memiliki barisan pemain yang mencukupi, selain Sivasangari dan Aira, kita diperkuatkan dengan dua lagi pemain muda, Aifa Azman dan Noor Aina Amani.
“Apa yang menjadi kebimbangan saya ialah barisan pemain lelaki yang kehilangan khidmat Ivan Yuen kerana bersara, sementara, Syafiq Kamal dan Addeen pula semakin meningkat usia, jadi, Ameeshanraj serta Hafiz kena bekerja keras,” tegasnya. – UTUSAN