KUALA LUMPUR: Bergelar pemain profesional bukan mudah buat beregu campuran negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing, kekalahan menimpa mereka hanya mengundang bala apabila tiada penaja yang sudi menghampiri.
Keluh-kesah itu diluahkan oleh Pei Jing selepas ditimpa kekalahan seawal pusingan pertama di tangan pilihan ketujuh dari Korea Selatan, Kim Won Ho-Jeong Na Eun 11-21, 16-21 dalam masa 38 minit pada Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia di Axiata Arena, dekat sini, semalam.
Kemerosotan prestasi yang melanda Kian Meng-Pei Jing sejak tahun lalu turut menjejaskan ranking mereka daripada berada dalam kelompok 10 terbaik dunia merudum ke tangga 25 dunia.
Hajat untuk mengatasi badi suku akhir pada Terbuka Malaysia juga tidak kesampaian dan Pei Jing mengakui, keterujaan untuk membuka aksi musim ini dengan persembahan lebih baik kini terencat.
“Jujur saya cakap, saya memang teruja membuat persediaan menjelang tahun baharu, malangnya ini bukan keputusan yang kami mahukan, juga bukan prestasi yang saya bayangkan, jadi, saya perlu fikiran tentang hal ini.
“Kami kena cari jalan bagaimana hendak bangkit sewaktu ketinggalan apabila berdepan dengan beregu handalan dunia, lawan pula bijak mengubah corak permainan mereka, saya sendiri agak terkejut,” katanya ketika ditemui pemberita selepas perlawanan.
Pei Jing berkata, kekalahan di pusingan pertama turut menenggelamkan dia dan Kian Meng daripada pandangan penaja.
“Seperti yang anda lihat di baju kami kosong tiada penaja, pencapaian tahun lalu teruk, faham-fahamlah kalau keputusan bagus penaja datang, bukan tak cuba cari penaja, tetapi mesti ada situasi menang-menang, tak boleh buat apa,” ujarnya.
Kian Meng memberitahu, terlalu banyak kesilapan mudah yang mereka lakukan sewaktu berdepan pasangan Korea Selatan tersebut.
“Semasa set kedua, mereka cuba naikkan kelajuan bola, kami cuba mengatasi perubahan itu, tetapi, sebaliknya kesilapan demi kesilapan mudah yang kami buat,” jelasnya.
Pemain berusia 29 tahun itu menegaskan, penting untuk mereka bangkit pada Terbuka India yang bermula minggu depan dan perlu kembali mengumpulkan kekuatan diri agar tidak lagi ditimpa keputusan mengecewakan. – UTUSAN